Henti politik melabel “syaitan”, agama tidak boleh jadi senjata politik
- Redzuan Shamsudin

- 14 minutes ago
- 2 min read

Budaya politik melabel dan menghukum pihak lain menggunakan bahasa kesat, susulan kenyataan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Hj Hadi Awang yang melabel usaha dialog politik melalui gagasan “Rumah Bangsa” sebagai “tipu daya syaitan” ditempelak Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Menurut Mahfuz, kenyataan tersebut adalah keterlaluan dan tidak mencerminkan kematangan politik dalam suasana demokrasi negara.
"Dalam tradisi Islam, perbezaan pandangan tidak pernah dijawab dengan bahasa menghina atau melabel pihak lain sebagai syaitan. Ulama silam berhujah dengan ilmu dan hikmah, bukan dengan retorik yang memecah-belahkan masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyifatkan tuduhan bahawa kerjasama politik dengan Democratic Action Party (DAP) sebagai pengkhianatan kepada Islam amat tidak konsisten dengan sejarah politik negara.
Mahfuz berkata, Pas sendiri pernah bekerjasama dengan DAP dalam pakatan politik selama bertahun-tahun tanpa timbul tuduhan sedemikian ketika itu.
"Lebih memeranjatkan apabila kerjasama politik dengan DAP kini digambarkan sebagai pengkhianatan kepada Islam.
"Sedangkan sejarah politik negara menunjukkan bahawa Pas sendiri pernah bekerjasama dengan DAP dalam pakatan politik selama bertahun-tahun. Ketika itu tidak pula kedengaran label syaitan atau tuduhan sedemikian," katanya.
Dalam masa sama, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan menggunakan ayat al-Quran di luar konteks bagi menyerang lawan politik.
"Pendekatan memetik ayat-ayat al-Quran di luar konteks untuk menyerang lawan politik amat membimbangkan. Ayat berkaitan peperangan dan permusuhan tidak boleh disalahgunakan untuk menuduh pihak lain dalam perbezaan politik demokrasi," katanya.
Mahfuz menegaskan bahawa Malaysia kini memerlukan kematangan politik dan perpaduan nasional ketika negara berdepan cabaran ekonomi global, ketidaktentuan geopolitik serta tekanan kos sara hidup.
"Rumah Bangsa ialah rumah yang cuba dibina semula supaya rakyat tidak terus hidup dalam pergaduhan politik. Politik yang memecah-belahkan rakyat dengan retorik agama tidak akan membantu menyelesaikan masalah sebenar rakyat.
"Rumah Bangsa mungkin belum sempurna, tetapi ia adalah usaha untuk menyatukan rakyat," katanya.
Beliau menegaskan bahawa Islam merupakan agama yang membawa rahmat dan kebijaksanaan, dan tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menghukum lawan politik.
"Apabila hujah politik semakin lemah, label agama sering dijadikan senjata. Namun rakyat Malaysia semakin matang dan mampu membezakan antara perjuangan agama yang tulen dan propaganda politik yang berselindung di sebalik agama," katanya.




Comments