top of page

Henti eksploitasi seksual terhadap wanita di media sosial - Rozy Razit

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Noraziah Mohd Razit (gambar) menggesa masyarakat menghentikan budaya mengeksploitasi imej wanita sebagai bahan jenaka, sindiran, komen lucah atau serangan peribadi di media sosial.


Beliau berkata, trend yang semakin membimbangkan itu bukan sahaja mencemarkan maruah wanita malah membuka ruang kepada normalisasi gangguan seksual dalam ruang digital.


"Baru-baru ini tular video yang memaparkan (konon) Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menari dalam suasana santai semasa menghadiri sebuah program.


"Apa yang membimbangkan ialah kemunculan pelbagai komen dan naratif yang cuba memfokuskan kepada persepsi tidak senonoh," kata beliau dalam kenyataan.


Noraziah yang juga Exco Wanita KEADILAN Malaysia menegaskan, perbezaan pandangan politik tidak pernah menghalalkan mana-mana pihak untuk menjadikan wanita sebagai bahan cemuhan, objek seksual atau sasaran serangan yang tidak berkaitan dengan prestasi dan tanggungjawab mereka.


Beliau turut mengingatkan bahawa kritikan terhadap dasar dan pendirian politik adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi, namun perlu dilakukan secara matang dan beradab tanpa merendahkan martabat individu, khususnya wanita.

"Wanita mempunyai hak untuk berada di ruang awam, menghadiri program dan berinteraksi dengan masyarakat tanpa menjadi sasaran komen berbaur seksual atau penghinaan maruah diri mereka.


"Kita tidak boleh membenarkan budaya yang merendahkan martabat wanita terus berkembang dalam masyarakat," tambahnya.


Noraziah sementara itu menegaskan, sebagai seorang wanita dan pemimpin politik, beliau menolak segala bentuk gangguan seksual, eksploitasi imej wanita serta budaya seksualisasi wanita.


Dalam masa sama beliau menyeru semua pihak bersama-sama membina budaya politik yang lebih matang, beretika dan menghormati maruah setiap insan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page