Hasil Sabah 40%: Rundingan telah bermula pesat, aktif - PM
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 2 min read

Parti parti yang menggunakan isu menuntut Kerajaan Persekutuan memulangkan kembali 40% hasil cukai yang dikutip dari Sabah perlu berhati hati dalam usaha meraih sokongan pengundi menggunakan isu tersebut.
Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Semakan Kehakiman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru baru ini menggesa agar Kerajaan Persekutuan berunding dengan Kerajaan Negeri Sabah berhubung hasil percukaian.
Sedangkan, katanya, rundingan telah pun bermula dengan kedua dua negeri Malaysia Timur berkenaan, yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.
"40% boleh dibincangkan. Tidak ada masalah. Bawa pun ke mahkamah (Semakan Kehakiman), apa masalahnya? Ini Kerajaan Madani, jangan banding dengan kerajaan terdahulu. Mahkamah kata harus berunding.
"Saya nak beritahu rundingan telah bermula secara pesat dan aktif. Saya minta Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah untuk mengetuai perbincangan.
"Kalau tanya belum ada rundingan..... rundingan telah bermula. Saya pengerusikan, hadir bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji," katanya dalam ucapan pada majlis Pengumuman Calon KEADILAN Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Selain itu, kata Anwar, sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah juga bertambah di era Kerajaan Madani berbanding dengan kerajaan terdahulu.
"Dari segi Perkara 112 dulu RM56 juta setahun, kemudian RM150 juta setahun. Kita ambil alih (kerajaan) meningkat RM300 juta untuk Sabah dan Sarawak. Tahun ini saya umum naik RM600 juta setahun. Itu pun kita berpakat dengan kedua dua Sabah dan Sarawak, interim (buat sementara). Keputusan sementara, sementara rundingan diteruskan. Siapa kata belum berunding?" tanyanya.
Oleh itu, Anwar mencabar ahli politik yang masih tidak berpuas hati untuk bertanya kepada perdana menteri sebelum beliau, berapa banyak yang telah diluluskan untuk membantu Sabah.
Beliau juga membidas pemimpin politik Sabah yang mengkritik semua perkara sedangkan kebanyakan pemimpin parti parti di sana pernah menjadi pemimpin di peringkat negeri atau pusat sebelum ini.
"Kita dengar pelbagai perbincangan dan tohmahan. Ada pemimpin Sabah asyik nak salahkan orang lain. Kamu pernah pimpin dulu, sama ada di Persekutuan atau di negeri.
"Cuba tanya apa kita lakukan untuk selesaikan masalah jalan, longkang, sekolah, rumah usang, rakyat miskin. Saya tak nafikan semua ada jasa tetapi kita tak nafi masalah Sabah, kemiskinannya, pembangunannya masih perlu diberikan perhatian yang lebih," katanya.
Justeru, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mahu gabungan itu menang besar pada hari mengundi 29 November ini.
Katanya, wakil rakyat PH akan menjadi perantara antara rakyat dan Kerajaan Persekutuan untuk memberi pembelaan yang lebih baik kepada rakyat Sabah.
"PH bertanding sekitar 23 kerusi, kita bukan berebut atas nama PH untuk bentuk kerajaan Sabah. Rakyat Sabah harus pilih. Walaupun kerjasama kita mantap bersama GRS dan BN tetapi kita perlu pastikan kita ada perwakilan yang kuat, menjamin hubungan baik di antara kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan.
"Lebih penting menggunakan kuasa kita sebagai wakil rakyat. 23 orang itu (calon PH) menang, supaya mereka ada suara pembicara, penegak keadilan, membetulkan kesilapan dan mengangkat martabat rakyat Sabah," katanya lagi.





