top of page

Hasil lawatan di Maldives, percepat kerjasama ekonomi, tenaga

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
1 hour ago
2 min read
DS Anwar dan delegasi Malaysia dalam sidang media sebelum berangkat pulang ke tanah air. Foto: PMO
DS Anwar dan delegasi Malaysia dalam sidang media sebelum berangkat pulang ke tanah air. Foto: PMO

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim merumuskan hasil lawatan rasmi ke Republik Maldives yang menyaksikan beberapa kesepakatan dicapai bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Maldives.


Dalam sidang media bersama pengamal media Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air, Anwar berkata antara hasil utama lawatan itu ialah persetujuan untuk mempercepat mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives yang akan dihoskan di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini.


Menurut beliau, mekanisme tersebut penting bagi menyelesaikan perkara berbangkit serta menetapkan tindakan konkrit untuk memperluas kerjasama antara kedua-dua negara.


Kemudahan kewangan


Malaysia turut bersetuju secara prinsip untuk menyokong permohonan Maldives bagi kemudahan kewangan berjumlah AS$100 juta, dengan Bank Negara Malaysia dan Maldives Monetary Authority akan memperincikan mekanisme serta proses pelaksanaannya.


Dalam sektor tenaga pula, Anwar berkata beliau akan berbincang dengan PETRONAS berhubung cadangan meneroka potensi kerjasama tenaga di Maldives.


Dua memorandum persefahaman dalam bidang pertahanan dan hal ehwal Islam turut dipertukarkan sepanjang rangka lawatan rasmi berkenaan.


Pendidikan, kesihatan dan kebajikan turut diberi perhatian


Dalam bidang pendidikan, Kerajaan Malaysia akan meneliti beberapa kekangan birokrasi yang dihadapi pelajar Maldives dan keluarga mereka.


Pendirian bersama


Malaysia dan Maldives turut meneroka kerjasama dalam bidang kesihatan mental serta kebajikan golongan kurang upaya.


Kedua-dua negara juga menyatakan pendirian bersama mengenai keperluan pelaksanaan berkesan komitmen antarabangsa dalam menangani perubahan iklim, termasuk penyaluran pembiayaan yang telah dijanjikan.


Dalam isu Palestin, Anwar berkata Malaysia dan Maldives kekal memperjuangkan kebebasan dan keadilan untuk rakyat Palestin serta menolak penjajahan dan kezaliman di Gaza.


Anwar menyifatkan lawatan tersebut sebagai satu peluang untuk kedua-dua negara memperkukuh hubungan dan menterjemahkan kesepakatan yang dicapai kepada tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu, Kerajaan Maldives, rakyat negara itu, delegasi Malaysia serta petugas kedutaan atas kerjasama sepanjang lawatan.


Anwar kemudiannya berlepas pulang ke tanah air dengan harapan segala kesepakatan yang dicapai dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan demi manfaat rakyat Malaysia dan Maldives.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page