Hasil cukai sabah RM10 bilion, kerajaan belanja RM17 bilion, lebih 40%
- Suara Keadilan
- 12 minutes ago
- 2 min read

Rakyat Sabah yang mendesak menuntut 40% daripada hasil cukai Sabah sebagaimana keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini perlu berfikir lebih rasional.
Tuntutan mereka kurang menepati realiti kerana perbelanjaan pembangunan di Sabah yang memerlukan kewangan lebih besar daripada 40% hasil berkenaan.
Hal itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada program Rancakkan Madani Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Ujarnya, hasil cukai negeri Sabah sekitar RM10 bilion setahun, bagaimanapun peruntukan pembangunan dan sebagainya yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan ke negeri di bawah bayu itu mencecah RM17 bilion.
"Tahun 2024 hasil cukai, hasil cukai pendapatan, hasil pelbagai cukai diambil Kerajaan Persekutuan berapa? Keseluruhannya RM10 bilion. Hasil Sabah diambil ke Putrajaya.
"Banyak... dengar dulu.... Berapa pula yang Kerajaan Persekutuan belanja untuk Sabah?
"Bangunkan sekolah, perubatan, kawal sempadan Esscom, pertahanan, semua?
"Kita ambil hasil RM10 bilion, kita bagi balik RM17 bilion," katanya.
Hal yang sama juga diterangkan oleh PM apabila rakyat biasa bertemu beliau dalam lawatan di pasar atau tempat awam di Sabah.
Dalam erti kata lain, Sabah tidak mungkin boleh ditadbir dengan hanya 40% atau RM4 bilion hasil sebagaimana mengikut Perjanjian Malaysia (MA63).
Untuk rekod, isu hasil cukai 40% Sabah digunakan secara meluas sebagai modal kempen parti parti pembangkang menyerang kerajaan GRS dan Persekutuan menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah pada hujung bulan ini.
Sebelum ini Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan perlembagaan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40% hasil bersih yang diperoleh dari Sabah, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah membenarkan permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) dan mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Kerajaan Persekutuan mempunyai tempoh sehingga 14 Nov ini untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.





