Hari Malaysia: Jasa Anwar berjaya basmi kemiskinan tegar - Hassan Karim
- Akmal Manaf

- 17 hours ago
- 2 min read

Ikrar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghapuskan kemiskinan tegar di negara ini dilihat semakin hampir mencapai matlamat apabila semakin banyak negeri mencatatkan kadar sifar kemiskinan tegar.
Dalam catatan menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, usaha menangani kemiskinan tegar merupakan antara legasi penting yang berpotensi ditinggalkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
"Saya menjadi saksi hidup. Dua tahun Anwar Ibrahim terpenjara di bawah ISA di Kem Kamunting, Taiping, Perak (1974-1976) kerana membela dan memperjuangkan nasib rakyat miskin di Baling, Kedah.
"Kini, satu demi satu negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia telah mencapai tahap sifar kemiskinan tegar.
"Anwar Ibrahim dengan izin Allah mungkin boleh jadi Perdana Menteri Malaysia sepenggal lagi, walau selantang mana musuh politiknya cuba menjatuhkannya," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun ujar Hassan, sama ada Anwar terus memimpin negara atau tidak pada masa hadapan, legasi terbesar yang bakal dikenang ialah kejayaannya menghapuskan kemiskinan tegar di negara ini.
Dalam kenyataan sama, pemimpin KEADILAN Johor itu berkata, Perdana Menteri atau Presiden sesebuah negara lazimnya berdepan kritikan, kecaman dan tentangan sepanjang tempoh kepimpinannya, manakala pujian serta penghargaan ketika masih berkuasa jarang diterima.
Beliau memberi contoh di peringkat global, macam-macam keburukan dan kejelikan dituduh dan dilemparkan terhadap Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy.
Namun, katanya banyak juga yang baik diperolehi rakyat Amerika Syarikat dan dunia daripada Presiden Kennedy (1961-1963).
"Pada tahun 1962, Presiden John F. Kennedy berikrar untuk mendaratkan manusia di bulan.Pada tahun 1963, Presiden Kennedy mati ditembak di Dallas, Texas.Namun ikrarnya berjaya dicapai pada tahun 1969 apabila Neil Armstrong dan Buzz Aldrin berjalan di atas permukaan bulan.
"Jadi menjelang 16 September 2026 ini, ketika rakyat Malaysia seluruhnya akan merayakan Hari Malaysia.Bolehkah kita ingat apakah satu ikrar Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim yang hampir akan tercapai?
"Jawapannya ialah ikrar PM Anwar Ibrahim untuk menghapuskan kemiskinan tegar," katanya lagi.
Tahun ini merupakan tahun keempat Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri dan kejayaan terbesar beliau adalah berjaya menghapuskan kemiskinan tegar yang cuba dilakukan sewaktu menjawat Timbalan Perdana Menteri pada 1992 - 1998 namun kurang berjaya.




Comments