top of page

Hargai pekerja, elak pembaziran demi jaminan makanan negara

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • May 1
  • 1 min read

Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) menyeru rakyat Malaysia agar menghargai jasa golongan pekerja serta mengelakkan pembaziran makanan demi memastikan keterjaminan bekalan negara terus terpelihara.


Beliau berkata, sambutan Hari Pekerja bukan sekadar cuti umum, sebaliknya merupakan ruang untuk menghargai setiap pengorbanan tenaga kerja yang menjadi tulang belakang negara.


"Hari ini kita raikan setiap tangan yang bekerja, setiap keringat yang mengalir, dan setiap usaha yang tidak pernah kenal jemu demi keluarga serta negara," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, di sebalik makanan yang dinikmati rakyat, terdapat pengorbanan besar daripada golongan petani, pesawah, penternak dan nelayan.


Beliau yang juga selesa dipanggil dengan gelaran 'Bang Mat' mengingatkan bahawa dunia kini berdepan cabaran besar berkaitan krisis bekalan global yang memberi kesan kepada rantaian makanan.


"Dalam dunia yang sedang berdepan krisis bekalan global, cabaran yang kita hadapi bukan lagi kecil. Rantaian bekalan terganggu, harga tidak menentu, dan persaingan semakin sengit. Namun Bang Mat yakin, dengan semangat kebersamaan dan usaha berterusan, kita mampu berdiri teguh serta menghadapinya dengan tenang dan bijaksana," katanya.


Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat agar lebih menghargai makanan dan mengamalkan sikap berjimat.


"Apa yang kita jimat hari ini adalah sumbangan besar untuk masa depan negara. Sikap ini mungkin kelihatan kecil, tetapi kesannya amat besar dalam menjamin keterjaminan makanan kita bersama," katanya.


Tambah beliau, semangat kebersamaan dan saling menyokong penting dalam memastikan negara terus maju.


"Kita kuat apabila kita bersama. Kita maju apabila kita saling menyokong. Dan kita akan berjaya apabila kita benar-benar sayangkan negara ini," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page