top of page

Harga minyak: 'Spin'ira fakta harga minyak dunia turun kelirukan rakyat - Intelek

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 3 hours ago
  • 2 min read


Dakwaan bahawa kerajaan menaikkan harga bahan api ketika harga minyak dunia kononnya sedang menurun disifatkan sebagai tidak tepat dan mengelirukan, demikian menurut Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob.


Beliau menjelaskan naratif tersebut dibina laskar siber pembangkang berdasarkan tafsiran separuh benar terhadap data pasaran global tanpa mengambil kira konteks sebenar yang mempengaruhi penetapan harga bahan api di Malaysia.


"Poster yang tular hanya menunjukkan penurunan harian sekitar dua peratus sedangkan harga minyak mentah penanda aras seperti Brent Crude Oil masih berada pada paras tinggi sekitar AS$100 setong.


"Ini bukan harga murah (sebaliknya) masih paras tinggi dalam pasaran global," katanya dalam satu kenyataan.


Ahmad Nadhir Yob
Ahmad Nadhir Yob

Menurut Ahmad Nadhir, penurunan kecil harga bahan bakar dalam tempoh singkat tidak boleh dijadikan asas untuk mendakwa harga minyak dunia sudah benar-benar rendah.


"Sekali lagi taktik lama digunakan, ambil data separuh, potong konteks dan kemudian bina persepsi kerajaan naikkan harga walaupun harga minyak dunia sudah turun.


"Jika harga naik daripada RM100 ke RM120, kemudian turun ke RM118, ia tidak bermakna harga sudah murah. Begitu juga dengan situasi minyak global," ujarnya.


Ahmad Nadhir turut menjelaskan penetapan harga bahan api di Malaysia tidak bergantung sepenuhnya kepada harga minyak mentah dunia semata-mata.


Sebaliknya, jelas beliau penetapan kadar harga bahan api dipengaruhi beberapa faktor utama termasuk harga produk petroleum siap di pasaran antarabangsa, purata harga mingguan, kadar pertukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat serta kos logistik dan penghantaran.


Tambah beliau, ketidaktentuan geopolitik khususnya di rantau Timur Tengah turut memberi kesan langsung kepada kos operasi industri minyak dan gas global.


"Dalam keadaan konflik serantau, kos insurans kapal meningkat, laluan penghantaran menjadi berisiko dan ini semua menyumbang kepada peningkatan kos sebenar yang akhirnya mempengaruhi harga runcit," jelasnya.


Beliau turut menolak tanggapan bahawa jaminan bekalan mencukupi hingga Mei bermakna harga akan kekal rendah.


"Bekalan dan harga adalah dua perkara berbeza. Bekalan mungkin stabil tetapi jika risiko global meningkat, harga tetap boleh naik," katanya.


Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan masih menanggung subsidi bahan api bagi mengurangkan beban rakyat, walaupun berdepan tekanan harga di peringkat global.


"Tanpa subsidi, harga sebenar yang perlu ditanggung pengguna adalah jauh lebih tinggi. Namun fakta ini tidak disebut oleh pihak tertentu kerana tidak selari dengan naratif politik mereka," bidasnya.


Sehubungan itu, Ahmad Nadhir menyeru orang ramai supaya menilai sesuatu maklumat secara menyeluruh dan tidak terpengaruh dengan laporan yang dipetik secara terpilih.


"Apabila fakta diambil separuh dan konteks diabaikan, ia bukan lagi analisis tetapi propaganda yang boleh mengelirukan rakyat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page