top of page

Inflasi Melambung, Nasi Bungkus Pun Mahal



Oleh: Andre Lai


ULASAN PIMPINAN: Pada 26 September 2022, kadar matawang ringgit kepada dollar Amerika Syarikat telah mencecah RM 4.59 kepada AS$ 1.00, sekali lagi mencecah rekod baru. Hari ini, sepinggan nasi bujang berharga RM 6.00, berbanding dengan RM 3.00 beberapa tahun lepas.


Harga makanan juga telah mencapai tahap membimbangkan setelah bermulanya wabak Covid 19, isu rantaian bekalan yang semakin meningkat, perang Rusia-Ukraine serta lonjakan kos tenaga dan logistik yang dijangka meningkat lagi pada waktu akan datang disebabkan oleh krisis iklim.


Menurut pakar, perubahan cuaca yang melampau dijangka mengurangkan jumlah hasil tanaman di kawasan pertanian dengan ketara, yang akan membawa kepada lonjakan harga makanan, memberi lebih tekanan kepada rakyat miskin dan berpendapatan rendah.


Kenaikan harga merupakan satu krisis


Inflasi Malaysia, yang diukur oleh indeks harga pengguna (CPI), meningkat 4.7% tahun ke tahun (year-to-year) pada Ogos 2022 berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Walaupun kadar kenaikan harga makan di Malaysia tidak tinggi seperti di Eropah, namun perubahan yang mendadak mendatangkan rasa bimbang kepada kebanyakkan masyarakat yang baru mula kembali kepada kehidupan masing-masing setelah 2 tahun dalam pandemik. Sebelum ini, saya tidak boleh katakan isu kenaikan harga makan sebagai krisis, kerana Kementerian Pertanian & Industri Makanan (MAFI) menafikannya. (menurut laporan di Bernama https://bernama.com/bm/news.php?id=2086208)


Enam bulan lalu, ketika Ayuh Malaysia dilancarkan, objektif penubuhannya menetapkan 5 teras dasar radikal, dengan salah satunya adalah jaminan makanan. Masa itu, Perang Rusia-Ukraine baru bermula dan belum lagi menjejas ekonomi negara.


Episod inflasi kemudiannya bermula dan secara langsung menyebabkan kenaikkan harga makanan asas seperti telur, beras dan daging. Tidak kelihatan usaha kerajaan untuk membendung peningkatan makanan sebelum ia bermula, sebaliknya mereka masih lagi berada di atas kayangan selepas Pilihan Raya Negeri Johor.


Saya percaya ramai yang masih ingat bagaimana Perdana Menteri Malaysia membuat keputusan ‘flip fop’ membenarkan harga terapung untuk bekalan daging, kemudiannya menetap harga siling dan selepas itu jawatankuasa jihad terhadap inflasi makanan ditubuhkan. Pada masa yang sama kemerosotan ringgit Malaysia ditambah dengan cukai duti import yang tinggi merancakkan kenaikkan harga makanan seolah-olah tidak wujudnya penguatkuasaan pihak KDPNHEP.


Krisis pertanian akibat perang


Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah memberi amaran perang di Ukraine mewujudkan krisis pertanian yang tidak pernah berlaku sejak Perang Dunia Kedua. Prospek ekonomi pada 2023 dijangka lebih mencabar kepada semua negara, mengikut pandangan pakar ekonomi dunia.


Besar kemungkinan, kemelesetan ekonomi bakal berlaku dan Malaysia tidak terlepas daripada musibah ini. Selama ini, Malaysia mengalih tumpuan ekonomi ke industri dan telah mengabaikan industri pertanian. Global Food Security Index menempatkan Singapura ke tangga ke 28 dan Malaysia berada di tangga ke 41. Mungkin nampak tidak banyak beza, tetapi Singapura merupakan sebuah negara pulau dengan sumber asli terhad tetapi dengan visi yang bersasar.


Ketua Cabang Wangsa Maju, Andre Lai (kiri) menyumbang sayur sayuran percuma demi meringan beban penduduk

Agensi Makanan Singapura (Singapore Government Singapore Food Agency atau SFA) di bawah Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (Ministry of Sustainability and the Environment) bertekad untuk mencapai 30% sara diri makanan menjelang 2030, sebagai satu langkah untuk mengurangkan import makanan asas dengan kaedah seperti pertanian bandar dan pembangunan industri makanan tempatan.


Banyak kajian kes yang boleh dirujuk dari kejayaan dari negara-negara lain. Antara inisiatif yang boleh pertimbangkan untuk meningkatkan daya saing industri pertanian tanah air adalah:


- Menyelaraskan penggunaan tanah yang efektif untuk tanaman makanan asas seperti beras dan gandum. Hasil pertanian semasa tidak mencukupi untuk populasi yang semakin meningkat dan terpaksa bergantung kepada makanan import.


- Merangsangkan perkembangan pertanian dengan kerjasama sektor swasta berpakar melalui insentif kerjaan.


- Hapuskan monopoli import makanan seperti BERNAS untuk menggalakan persaingan yang merangsangkan industri.


- Teknologi pertanian moden seperti hidroponik dan pertanian bandar wajar diberi perhatian


- Pengagihan insentif yang telus untuk petani dan bebas rasuah


- Undang-undang yang mensasarkan kawalan harga makanan yang ketat untuk menstabilkan harga makanan (dan mengelakan peningkatan harga sebelum ia berlaku)


- Mengguna Internet sebagai satu pemacu pemasaran produk agro tempatan melalui platform e-commerce seperti di China.


Punca kenaikan harga


Punca utama kenaikkan adalah kerana Malaysia mengimport lebih makanan daripada mengeksport. Mungkin ada di antara kita yang masih ingat Malaysia merupakan sebuah negara pertanian satu masa ketika. Di Parlimen Wangsa Maju, Jalan Gombak beberapa dekad lalu mempunyai kawasan sawah padi yang luas, tetapi kini kebanyakkan tanah telah menjadi tapak kondominium mewah.


Hari ini, hampir kesemua jenis makanan asas telah diimport, termasuk beras dan cili. Dianggar bahawa 2/3 cili di pasaran di bawa masuk dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia. Sekiranya negara yang mengutamakan industri pertanian itu terkesan akibat kegawatan ekonomi, apatah lagi nasib negara kita?


Kita bakal melangkah ke 2023 dengan matawang yang lemah berserta risiko ekonomi gawat semakin menjadi realiti. Apakah yang diharapkan dalam Belanjawan 2023 mungkin tidak dapat mengelakkan Malaysia daripada terjerumus kepada kemelesetan ekonomi.


Projek jangka masa panjang perlu dirancang agar Malaysia dapat memberi fokus terhadap pertumbuhan industri pertanian tempatan dan mengurangkan pergantungan terhadap makanan import. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mungkin telah merangka dasar jaminan keselamatan makanan, tetapi tahap perlaksanaan setakat ini masih tidak berkesan. Mungkin apa yang dimain dalam minda mereka di Putrajaya adalah bila PRU akan berlangsung.


Walau bagaimanapun, satu pendekatan yang serius harus dipertimbangkan dalam masa terdekat. Malaysia telah lama terpinggir dalam teknologi pertanian yang pada satu masa dahulu merupakan perintis. Sudah sampai masanya untuk membawa kembali pertanian sebagai tunjang dan keutamaan ekonomi negara.


______________________________________________________________________________

Penulis merupakan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan dan Ketua Cabang Wangsa Maju

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page