top of page

Harga Ketaksuban Politik : Pengajaran Dari Dekad China Yang Hilang

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
10 hours ago
3 min read

Oleh: Andre Lai Chen Heng


ULASAN: Saya sentiasa tertarik dengan kisah-kisah Revolusi Kebudayaan di China. Ia membuka mata saya tentang bagaimana kawalan pemikiran dan ketaksuban politik hampir memadamkan warisan budaya yang kaya selama ribuan tahun, di samping merenjatkan perjalanan ekonomi sesebuah negara. Lihatlah China hari ini, sebuah kuasa besar yang diterajui kereta api laju, gergasi teknologi, dan rantaian bekalan global.


Namun, kebangkitannya pernah tertangguh hampir segenerasi akibat kegilaan politik semata-mata. Apabila sesebuah negara mengorbankan prinsip ekonomi praktikal demi ketaatan politik, harganya amat mahal iaitu kemajuan terhenti, kekayaan terbuang, dan peluang yang terlepas selama berdekad-dekad.


Pemimpin pragmatik


Pada awal 1960-an, pemimpin pragmatik seperti Liu Shaoqi dan Deng Xiaoping mula mengemudi pemulihan China selepas kegagalan dasar Great Leap Forward. Mereka mengembalikan plot tanah persendirian, membenarkan pasaran tempatan beroperasi, dan mengutamakan kepakaran teknikal berbanding slogan politik.


Sekiranya China kekal pada haluan praktikal itu, lonjakan industrinya bakal berlaku jauh lebih awal berbanding keajaiban ekonomi Taiwan. Sebaliknya, Revolusi Kebudayaan terjerumus ke dalam kancah huru-hara.


Pada tahun 1970, KDNK per kapita China berada pada paras sekitar AS$110 berbanding Taiwan yang mencecah AS$390. Menjelang 1980, Taiwan melonjak ke AS$2,300 sebagai pusat pembuatan teknologi tinggi manakala China masih bergelut di bawah AS$200. Taiwan merebut peluang perdagangan global tatkala Beijing sibuk menutup universiti dan menindas golongan terpelajar.


Kerugian ekonomi tersebut amat besar, namun kemusnahan tiang budayanya jauh lebih membinasakan. Kempen menentang warisan tradisi memusnahkan nilai etika dan kepercayaan sosial yang dibina selama berabad-abad demi menuntut kesetiaan politik secara membuta tuli.


Kesannya, walaupun China mencapai kemakmuran kebendaan yang pesat hari ini, pembangunannya kerap terasa kontang dan hampa—kaya di luaran, tetapi terputus daripada akar moral dan budaya tradisinya. Sebaliknya, Taiwan melangkah ke era moden tanpa mengorbankan jiwa peradabannya.


Malaysia kalah kepada Singapura


Corak yang sama wujud lebih dekat dengan kita. Apabila Singapura berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965, pulau tersebut tidak mempunyai sumber semula jadi dan kelangsungan hidupnya penuh ketidakpastian.


Malaysia memiliki segala kelebihan, petroleum, getah, timah, tanah yang luas, serta laluan perkapalan strategik. Mengikut logik, Malaysia sepatutnya mendahului jauh di hadapan. Namun, jurang ekonomi sebaliknya melebar dengan pantas. Pada tahun 1970, KDNK per kapita Malaysia ialah AS$390 berbanding Singapura pada AS$920.


Menjelang 1990, Singapura melonjak ke AS$11,800 manakala Malaysia kekal pada AS$2,400. Singapura memilih meritokrasi pragmatik dan daya saing global, manakala Malaysia kerap terperangkap dalam politik identiti, naungan, dan perbalahan politik.


Lihatlah Malaysia hari ini. Halangan terbesar kita ialah mentaliti feudal yang masih menebal sehingga ke peringkat akar umbi. Wujud ketaksuban yang tidak sihat terhadap kesetiaan parti, pemujaan sosok pemimpin, dan idealisme yang tegar. Ketaatan kepada pimpinan atau bendera parti lebih dijulang berbanding kecekapan, prestasi dasar, atau integriti.


Penyokong mempertahankan idola politik mereka secara membuta tuli tanpa menghiraukan realiti ekonomi. Namun, memuja ahli politik, parti, mahupun idealisme tidak membina apa-apa. Ia tidak menurap jalan yang rosak, tidak meningkatkan mutu sekolah awam, dan tidak mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk anak muda kita.


Kesetiaan politik membinasakan


Sama ada komunisme radikal mahupun pemujaan pemimpin tempatan, kesetiaan buta sentiasa membawa hasil yang sama: ketaatan menggantikan kecekapan, pakar disisihkan, dan pertumbuhan negara terhenti. China akhirnya bangkit semula selepas tahun 1978, tetapi terpaksa membayar harga yang amat mahal menerusi dekad yang hilang dan kemerosotan budaya.


Tatkala negara jiran di Asia Tenggara seperti Vietnam dan Indonesia bergerak pantas menerusi reformasi pragmatik, Malaysia tidak mampu terus terperangkap dalam kesetiaan feudal dan drama politik. Kemajuan sebenar memerlukan kecekapan, tata kelola yang bersih, dan pertimbangan akal budi yang praktikal. Reformasi harus kita laksanakan—mereformasi negara, institusi, dan minda kita.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page