top of page

Harga diesel Thailand cecah paras tertinggi lebih 50 baht, RM6.20 seliter

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 3 min read
Harga diesel di Thailand melambung tinggi dalam masa sebulan perang di Iran. Foto ihsan: Bangkok Post
Harga diesel di Thailand melambung tinggi dalam masa sebulan perang di Iran. Foto ihsan: Bangkok Post

Kenaikan mendadak harga diesel di Thailand sehingga melepasi 50 baht atau RM6.20 seliter kini memberi tekanan besar kepada rakyat dan sektor ekonomi utama khususnya menjelang perayaan Songkran.


Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul memberi jaminan bahawa harga bahan api dijangka kembali stabil dalam masa terdekat susulan rundingan hampir selesai dengan syarikat penapisan minyak bagi mengurangkan margin keuntungan, lapor Bangkok Post.


Menurut beliau, walaupun pihak industri menunjukkan kerjasama, kerajaan perlu memastikan sebarang pengurangan tidak menjejaskan kelangsungan operasi kilang penapisan yang boleh menyebabkan gangguan bekalan.


Kerajaan Thailand ketika ini masih menanggung subsidi diesel sekitar 17 baht seliter melalui dana bahan api, namun mengakui pendekatan itu tidak mampan dalam jangka panjang.


Laporan media Thailand semalam menyebut harga runcit diesel B7 di sekitar Bangkok kini mencecah 50.54 baht (RM6.24) seliter setakat 7 April susulan kenaikan sebanyak 2.80 baht yang berkuat kuasa pada 5 pagi, Ahad lalu.


Kenaikan ini berpunca daripada keputusan jawatankuasa Dana Minyak Bahan Api mengurangkan subsidi kerajaan bagi diesel B7 daripada 20.71 baht kepada 18.10 baht seliter, dalam usaha mengurangkan beban fiskal negara.


Langkah tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada tindak balas terhadap krisis bahan api yang sedang melanda Thailand, didorong oleh gangguan bekalan global serta defisit besar dalam dana negara yang digunakan untuk menstabilkan harga di pam.


Selain diesel B7, harga bahan api lain turut mencatatkan paras tertinggi iaitu diesel B20 meningkat kepada 45.54 baht seliter manakala diesel premium melonjak kepada 70.44 baht seliter


Dalam pada itu, Kerajaan Thailand mengumumkan pelarasan semula struktur harga bahan api dan elektrik sebagai langkah segera mengurangkan beban rakyat susulan krisis tenaga yang semakin meruncing.


Perdana Menteri Anutin berkata pentadbirannya kini beralih kepada pendekatan lebih menyeluruh bagi menangani krisis tenaga yang berpunca daripada ketidaktentuan global termasuk konflik di Asia Barat.


Menurut beliau, bekalan tenaga dijangka kekal mahal dan berpotensi terhad dalam tempoh terdekat namun kerajaan sedang memperkenalkan beberapa langkah strategik bagi menstabilkan keadaan.


Antara langkah utama ialah rundingan dengan syarikat penapisan minyak bagi mengurangkan margin keuntungan selain cadangan menubuhkan pusat khas untuk menyelaras kawalan harga bahan api secara lebih berkesan.


Dalam masa sama, kerajaan turut meluluskan pengurangan sementara cukai eksais diesel sebanyak satu baht seliter sebagai langkah kelegaan segera kepada pengguna namun pelaksanaan itu masih memerlukan kelulusan pihak berkuasa pilihan raya.


Kementerian Kewangan Thailand juga sedang beralih kepada pendekatan bantuan bersasar kepada golongan rentan, menggantikan subsidi menyeluruh yang sebelum ini memberi tekanan besar kepada Dana Minyak Bahan Api sehingga mengalami kekangan kecairan.


Berbeza dengan situasi di Thailand, Malaysia setakat ini masih mampu mengekalkan kestabilan harga bahan api melalui mekanisme subsidi bersasar dan kawalan harga oleh kerajaan.


Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan berperingkat dalam rasionalisasi subsidi bagi mengimbangi tekanan fiskal tanpa memberi kesan mendadak kepada rakyat.


Walaupun Malaysia turut berdepan tekanan harga tenaga global susulan ketidaktentuan geopolitik, kesannya terhadap pengguna domestik masih terkawal berbanding Thailand yang telah mengurangkan subsidi secara lebih agresif.


Namun, penganalisis berpandangan Malaysia juga tidak terkecuali daripada risiko kenaikan harga sekiranya tekanan pasaran global berterusan, terutama jika kerajaan meneruskan langkah penyasaran subsidi secara lebih meluas.


Krisis harga diesel di Thailand mencerminkan cabaran besar yang dihadapi negara membangun dalam mengimbangi antara subsidi, kestabilan fiskal dan kebajikan rakyat.


Dalam konteks serantau, pendekatan berbeza antara Thailand dan Malaysia menunjukkan dasar tenaga kekal sebagai isu kritikal yang memerlukan keseimbangan teliti antara keperluan pasaran dan perlindungan rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page