top of page

Harga diesel Sabah, Sarawak dinaikkan menyamai Semenanjung jika PN jadi kerajaan?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 16 minutes ago
  • 3 min read

Oleh: Mohd Ikhmal Mohd Iskandar


ULASAN: Merujuk kepada Perutusan Khas YAB Perdana Menteri pada 26 Mac 2026, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter, menyelaraskan subsidi kepada 200 liter sebulan dan mengekalkan diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak.


Keputusan ini bukan dibuat secara suka-suka atau berdasarkan slogan politik semata-mata. Sebaliknya, ia dibuat berasaskan realiti bekalan, kedudukan stok, kos logistik dan kesan langsung terhadap kos hidup rakyat. Malah, pelarasan ini juga bersifat sementara sebagai respons kerajaan terhadap kekurangan bekalan akibat perang dan ketegangan geopolitik semasa.


Realiti rantaian bekalan, kekangan logistik


Semua pihak sedia maklum bahawa Iran telah memberi kebenaran kepada kapal Malaysia untuk melalui Selat Hormuz dan ia sememangnya suatu perkembangan yang positif. Namun demikian, ini bukan "pintu Doraemon" yang membolehkan bekalan sampai sekelip mata. Walaupun laluan kapal sudah dibuka, proses penghantaran bekalan tetap memerlukan masa kerana logistik antarabangsa melibatkan rantaian perjalanan, penyelarasan dan agihan yang tidak berlaku serta-merta.


Hakikat ini tidak sukar difahami kerana dalam urusan harian di dalam negara sendiri pun, proses logistik tetap tertakluk kepada kekangan masa dan operasi. Sebagai contoh, ramai penjawat awam termasuk anggota tentera menghantar kenderaan dari Port Klang ke Sabah dan Sarawak atau sebaliknya. Walaupun jaraknya lebih dekat berbanding Selat Hormuz, kenderaan yang dihantar tetap tidak sampai serta-merta.


Proses tersebut boleh mengambil masa sehingga 10 hari, bergantung kepada pelbagai faktor operasi seperti jadual kapal, cuaca, operasi pelabuhan dan proses pemunggahan. Jika penghantaran kereta pun mengambil masa, apatah lagi penghantaran bekalan bahan api yang melibatkan rantaian logistik dan birokrasi antarabangsa yang jauh lebih kompleks.


Jurang kos sara hidup antara wilayah


Namun begitu, masih ada segelintir penyokong termasuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang mempersoalkan mengapa diesel di Sabah dan Sarawak terus disubsidi sedangkan harga diesel tanpa subsidi di Semenanjung jelas berbeza. Jawapannya mudah: realiti di Sabah dan Sarawak memang tidak sama dengan Semenanjung, sama ada dari segi geografi, logistik mahupun kos sara hidup rakyat.


Hakikatnya, harga barang di Sabah dan Sarawak memang sudah lama lebih tinggi berbanding Semenanjung. Sebagai contoh, data menunjukkan harga ayam di Semenanjung sekitar RM9.52 sekilogram, berbanding RM12.67 di Sabah dan RM13.58 di Sarawak. Bagi telur ayam gred C (10 biji) pula, harganya sekitar RM4.05 di Semenanjung, berbanding RM4.85 di Sabah dan RM5.55 di Sarawak.


Maknanya, sejak sekian lama rakyat di Malaysia Timur sudah pun menanggung beban harga barang yang lebih tinggi. Jadi, bagaimana mungkin ada pihak mahu menyamaratakan harga diesel dengan Semenanjung, kemudian mendakwa itu sebagai adil?


Jika harga diesel di Sabah dan Sarawak dipaksa naik, kos logistik pasti akan meningkat. Apabila kos logistik meningkat, tekanan terhadap harga ayam, telur dan barang asas lain juga akan bertambah.


Falsafah kesamarataan vs ekuiti


Di sinilah prinsip keadilan sebenar mesti difahami. Adil bukan bermaksud semua perkara mesti sama. Sebaliknya, adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya.


Apabila geografi berbeza, cabaran logistik berbeza dan harga barang juga sudah sedia berbeza, maka dasar yang adil tidak boleh dibuat secara pukul rata. Dalam erti kata lain, keadilan tidak boleh diukur hanya dengan menyamaratakan harga tanpa mengambil kira beban sebenar yang ditanggung rakyat di sesuatu wilayah.


Cabaran logistik


Dari sudut logistik, jarak dan rantaian bekalan adalah fakta yang tidak boleh dipadam dengan slogan. Memaksa harga diesel yang sama di wilayah yang berdepan cabaran logistik berbeza adalah satu bentuk ketidakadilan ekonomi yang nyata. Kita mesti faham bahawa keadilan bukan sekadar kesamarataan angka tetapi kemampuan sesuatu dasar mengambil kira beban sebenar yang ditanggung rakyat.


Oleh itu, PN wajib menjawab dengan jelas: sekiranya PN menjadi kerajaan, adakah mereka akan menyamaratakan harga diesel di pam antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak? Ya atau tidak.


Jika PN gagal menjawab soalan mudah ini, maka jelaslah bahawa retorik mereka selama ini hanya untuk menangguk di air keruh tanpa mempedulikan perut rakyat di Borneo.


Akhirnya, marilah kita berpolitik dengan fakta dan memimpin dengan rasa.


Penulis merupakan Setiausaha Komunikasi (BIKOM) Keadilan Perak dan mantan Penyelidik Kajian Pengangkutan Awam Negeri Terengganu 2006

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page