HARAPAN Rover dilancarkan, jelajah lapan DUN selatan Johor
- Azuan Ab Rahman

- 1 day ago
- 2 min read

Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad melancarkan HARAPAN Rover - trak lima tan yang akan digunakan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri ke-16 Johor.
Beliau memaklumkan, trak tersebut akan menjelajah ke seluruh Johor Bahru dengan memberi tumpuan kepada DUN Puteri Wangsa, Kempas, Larkin, Skudai, Perling, Permas, Johor Jaya dan Bukit Batu.
"Selesai mengiringi Dr Maszlee Malik di Puteri Wangsa, saya berkesempatan untuk melancarkan HARAPAN Rover bagi membantu kelancaran kempen dan penerangan yang lebih berkesan kepada para pengundi.
"Selaku Ketua Sekretariat Jabatan Pilihanraya Pusat (JPRP) KEADILAN, ikhtiar anggota parti dari seluruh pelusuk negara untuk membantu kempen termasuk menyumbangkan trak seperti ini adalah sangat membanggakan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebagai mengulas proses penamaan Dr Maszlee Malik sebagai calon Pakatan Harapan DUN N.41 Puteri Wangsa semalam Saifuddin berkata, beliau yakin kerusi itu akan kembali menjadi milik Pakatan Harapan.
Isyarat itu jelasnya telah ditunjukkan menerusi kehadiran penuh penyokong dan pengundi sepanjang proses penamaan di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Taman Dato Onn di Johor Bahru semalam.
"Dr Maszlee Malik hadir membawa pengalaman, kredibiliti dan iltizam yang utuh untuk memperjuangkan aspirasi rakyat Puteri Wangsa.
"Beliau membawa hasrat Bangsa Johor yang dahagakan kerajaan negeri lebih inklusif, progresif serta mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
"Insya-Allah, di sinilah bermulanya titik kebangkitan baharu, membina masa depan Johor yang lebih maju, makmur dan bermaruah," kata Saifuddin.
Dr Maszlee Malik disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor Pakatan Harapan (PH) berdepan saingan lima penjuru.
Bekas Menteri Pendidikan itu akan dicabar calon Parti MUDA, Rashifa Aljunied; wakil Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling; calon Parti Bersama, Nicholas Paul Vincent; serta calon Bebas, Wang Wee Siong.




Comments