top of page

HARAPAN mencerminkan aspirasi, perjuangan rakyat Malaysia - Dr Maszlee

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Dr Maszlee dalam sesi santai bersama Suara Keadilan, semalam
Dr Maszlee dalam sesi santai bersama Suara Keadilan, semalam

Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa kini semakin berhati-hati membuat pilihan selepas beberapa kali berasa ‘terpedaya’ apabila parti yang mereka undi, akhirnya meninggalkan gabungan asal selepas pilihanraya.


Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu antara yang sering dibangkitkan ketika beliau turun berkempen di kawasan tersebut.


Katanya, sebahagian pengundi mengimbau sokongan mereka terhadap Pas pada 2013 ketika parti itu masih bersama gabungan pembangkang sebelum meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) beberapa tahun kemudian.


"Ada beberapa pengundi yang bertanya, dia kata betul (ke) HARAPAN masuk (bertanding) kali ini? Saya kata betul, sebab dia kata tak mahulah (terkena lagi). Sebab asyik kena ‘scam’.


"Dulu kena ‘scam’ zaman 2013 (undi) Pakatan Rakyat melalui Pas, kemudian Pas tinggalkan Pakatan Rakyat.


"Kemudian pada 2018, mengundi Bersatu kerana ketika itu parti berkenaan merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan, tetapi selepas menang, Bersatu pula meninggalkan PH.


"Pada 2022 pula, mereka nak beri sokongan kepada PH, (tetapi akhirnya kerusi) itu diberikan kepada MUDA, menyebabkan ada yang merasakan mereka seperti dipermain-mainkan," katanya ketika ditemui Suara Keadilan di sela-sela jadual kempennya di DUN tersebut.


Menurut Maszlee lagi, beliau turut diajukan persoalan mengenai hala tuju politiknya selepas ini, namun menegaskan beliau tidak akan ke mana-mana kerana dirinya tetap bersama HARAPAN.


"Saya kena tendang daripada Bersatu sebab saya nak ‘stay’ dengan HARAPAN. Pejuang ajak saya masuk pun, saya tolak sebab saya nak kekal dengan HARAPAN dan saya kembali kepada KEADILAN (juga) sebab HARAPAN.


"HARAPAN memang mencerminkan aspirasi dan perjuangan rakyat Malaysia. (Sebab itu) apabila kami turun ke kopitiam, restoran dan pelbagai lokasi lain, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Kami juga sempat bertemu masyarakat di tokong-tokong," ujar beliau yang disebut sebut dalam laporan media sebagai poster boy bagi PH.


Di DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee berdepan saingan lima penjuru bagi merebut kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada 11 Julai nanti.


Beliau yang juga mantan Ahli Parlimen Simpang Renggam akan dicabar calon Parti MUDA, Rashifa Aljunied; wakil Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling; calon Parti Bersama, Nicholas Paul Vincent; serta calon Bebas, Wang Wee Siong.


Pada PRN Johor lalu, kerusi Puteri Wangsa dimenangi Amira Aisya (MUDA) yang memperoleh 22,884 undi dengan majoriti 7,114 undi dalam persaingan enam penjuru.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page