Hak perhimpunan aman dijamin, jangan salah guna cetus keganasan
- Suara Keadilan

- Sep 11
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian.
Namun kata beliau, himpunan aman mestilah dilakukan secara bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang.
"Kerajaan hormat hak untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian, dan ia dibuktikan dengan konsisten melibatkan pelbagai himpunan sebelum ini.
"Namun, prinsip kebebasan juga menuntut kita untuk bertanggungjawab dan mesti patuh tunduk pada hukum, adab dan undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.
PM dalam kenyataan itu mengecam keras insiden yang melibatkan serangan terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman yang cedera ketika rempuhan penduduk sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Sulizmie cedera di kepala dipercayai akibat dibaling menggunakan objek dalam operasi pelaksanaan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu membabitkan 37 rumah teres di kampung tersebut.
"Insiden menyerang sehingga mencederakan penjawat awam yakni Ketua Polis Daerah Dang Wangi oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji dan mesti dikecam.
"Saya telah menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan dan lekas memberkas dalang dan penyerang yang bertanggungjawab mencederakan," tegas beliau.
Anwar menambah, himpunan aman tidak seharusnya disalahguna demi kepentingan politik sempit sehingga mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan rakyat.
"Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat," ujarnya.
Untuk rekod, polis telah menahan beberapa individu susulan kes Ketua Polis Daerah Dang Wangi cedera ketika rempuhan penduduk dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Kanun Keseksaan.









Comments