Guna minyak sendiri: Pengeluaran tidak mampu penuhi keperluan domestik - Bryan Ng
- Akmal Manaf

- 4 hours ago
- 1 min read

Hujah penyokong pembangkang mendakwa Malaysia mampu menawarkan harga minyak lebih murah sekiranya petroleum yang dikeluarkan negara tidak dieksport, disifatkan menyeleweng dari sudut fakta dan ekonomi.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin, realitinya Malaysia merupakan negara pengimport bersih minyak mentah kerana pengeluaran domestik tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan dalam negara.
"Kita masih perlu membeli lebih 300,000 tong sehari daripada pasaran antarabangsa pada harga dunia.
"Selain itu, minyak mentah adalah komoditi global yang harganya ditentukan oleh pasaran antarabangsa dan bukannya kos lombong tempatan.

"Sekiranya minyak dijual di bawah harga pasaran bagi kegunaan domestik, negara akan kehilangan hasil eksport penting yang sepatutnya digunakan untuk membiayai pembinaan sekolah, hospital dan pembangunan infrastruktur rakyat," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau mengulas mengenai dakwaan penyokong pembangkang bahawa harga minyak Malaysia seharusnya rendah jika menggunakan kesemua hasil yang dilombong tanpa perlu mengimport dari Timur Temgah yang sedang bergolak.
Namun faktanya, negara mengeluarkan kurang daripada 500,000 tong petroleum sehari berbanding penggunaan domestik sekitar 800,000 tong sehari.
Mengulas lanjut, Bryan menyifatkan Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun mengambil pendekatan bertanggungjawab dengan melaksanakan penstrukturan semula subsidi secara berperingkat dan bersasar.
Ujarnya, langkah itu adalah bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan tidak tiris kepada golongan berada atau aktiviti penyeludupan.




Comments