Guna diplomasi bebaskan sembilan sukarelawan Malaysia ditahan Israel
- Suara Keadilan

- Oct 9
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan akan berusaha untuk membebaskan sembilan lagi sukarelawan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Israel.
Perdana Menteri berkata, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan melalui menteri luar telah menghantar mesej kepada kerajaan Malaysia akan terus membantu sukarelawan tersebut
"Sembilan masih di tahanan Isreal. Sahabat saya, Presiden Recep Tayyip Erdoğan, baru bagi mesej melalui Menteri Luarnya sampai kepada Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Luar Malaysia) Insya-Allah, Turkiye akan terus bantu yang sembilan itu," katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Gaza di Axiata Arena, Kuala Lumpur malam tadi.
Terdahulu laporan media antarabangsa menyebut kapal misi kemanusiaan FFC dan TMTG yang turut membawa sembilan rakyat Malaysia telah dipintas secara tidak sah di perairan antarabangsa oleh tentera Zionis Israel sekitar pukul 10.50 pagi waktu Malaysia kelmarin.
Lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal Conscience itu terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Dua lagi aktivis adalah pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Perdana Menteri menegaskan Malaysia akan meneruskan usaha diplomasi dalam memperjuangkan isu rakyat Palestin termasuk menjemput Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke negara ini dengan mesej mahu peperangan di Gaza dihentikan agar perdamaian dapat diwujudkan.
"Saudara, harus ada kebijaksanaan. Yang saya mahu dan rakan-rakan saya mahu itu damai. Jangan dibunuh lagi anak-anak kita di Gaza. Jangan diapa-apakan wanita kita. Merdekakan mereka.
"Beri hak kepada mereka. Kalau ini bermakna kita, atas nama ASEAN mengundang Donald Trump, apa salahnya runding? Saya bukan menyerah, saya nak runding," tegas beliau.
Membidas pihak yang menghina kepimpinannya kerana menjemput Trump, Anwar berkata, kerajaan perlu kepada kematangan dan kebijaksaan politik meskipun tidak bersetuju dalam pelbagai perkara.
"Jadi, Amerika Syarikat, Jordan. Apa kita setuju semua dengan Jordan? Tidak. Kita setuju dengan Qatar semuanya? Tidak. Saya harap rakan-rakan faham. Kita jangan ikut sentimen kita, angkuh kita, seolah-olah kita tahu semua. Hina saya sebab atas nama ASEAN jemput Donald Trump.
"Perdana Menteri yang paling tak guna, itu bukan isunya. Bukan soal dagang sahaja, tapi soal kebijaksanaan, politik harus ada, kematangan harus ada," katanya.









Comments