top of page

Gubal RUUSA pastikan tadbir urus syarikat amanah swasta lebih telus

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini sedang memperkemas landskap kawal selia syarikat amanah swasta menerusi penggubalan Rang Undang-Undang Syarikat Amanah (RUUSA) baharu yang akan menggantikan Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) secara menyeluruh.


Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, reformasi menyeluruh itu dilakukan bagi memastikan tadbir urus yang lebih telus, berintegriti dan sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa.


Beliau berkata, RUUSA dijangka dibentangkan di Parlimen pada 2026 selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan ia akan merangkumi empat kluster utama.


"RUUSA meliputi meliputi penetapan parameter aktiviti serta rejim pendaftaran mandatori, pelaporan pemunyaan benefisial, aspek pentadbiran dan tadbir urus, serta mekanisme pemotongan nama, penyelamatan korporat, penggulungan dan pembubaran syarikat amanah.


"Proses konsultasi awam bagi memuktamadkan RUU ini telah dimulakan pada 2 April 2024 melalui edaran dokumen konsultasi.


"Selain itu, sesi libat urus turut diadakan bersama pihak industri serta pelbagai pemegang taruh termasuk kementerian dan agensi berkaitan pada Disember 2024.


"Antara agensi kawal selia yang telah dilibatkan dalam proses ini ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bank Negara Malaysia (BNM), serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengenai isu pelesenan pengurus dana pula, Fuziah berkata Akta 100 ketika ini terhad kepada aspek pendaftaran, pentadbiran dan tadbir urus entiti syarikat amanah sahaja dan tidak merangkumi pengawalseliaan aktiviti transaksi pelaburan yang dijalankan oleh syarikat amanah.


Beliau menjelaskan, sebarang cadangan mewajibkan pelesenan pengurus dana tertakluk kepada bidang kuasa agensi yang menyelia aktiviti pengurusan dana dan pelaburan, bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan.


"Dalam konteks tatakelakuan pemegang amanah dan aktiviti transaksi amanah, peruntukan yang terpakai adalah di bawah Trustees Act 1949 [Akta 208].


"KPDN menegaskan bahawa pengawalseliaan, pemantauan dan penguatkuasaan aktiviti amanah melibatkan pelbagai badan kawal selia berdasarkan skop dan fungsi yang ditetapkan undang-undang.


"Kerajaan komited untuk memastikan sistem kawal selia yang lebih kukuh, responsif dan bersepadu demi melindungi kepentingan rakyat serta memperkukuh keyakinan terhadap sektor amanah swasta negara," ujar beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page