Acara rasmi kementerian, agensi, GLC dilaksana secara sederhana
- Akmal Manaf

- Apr 29
- 1 min read

Kerajaan menetapkan semua acara rasmi, bengkel dan aktiviti berskala besar anjuran kementerian, agensi, badan berkanun serta GLC dan GLIC dilaksanakan secara sederhana.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan perkara itu dengan memetik arahan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Segala acara rasmi, bengkel dan aktiviti-aktiviti besar yang dilaksana oleh kementerian, agensi dan juga badan-badan berkanun atau GLC dan GLIC harus pada skala sederhana," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan bahawa Anwar menegaskan inisiatif Kampung Angkat MADANI di bawah Kerajaan Persekutuan perlu diselaras dengan rapi.
Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan ia difahami sebagai usaha di peringkat Persekutuan, selain penyelarasannya turut melibatkan ahli-Ahli Parlimen dalam kalangan penyokong kerajaan.
"Akhir sekali jemaah menteri telah dimaklumkan mengenai pencapaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah MCMC dan pemilihan NADI MCMC sebagai salah satu daripada International Telecommunication Union Digital Transformation Centre (ITUDTC), di mana NADI dan MCMC merupakan rakan pelaksana global yang ke-16 bagi ITUDTC," ujarnya lagi.



Comments