'Golongan elit monopoli kekayaan negara, rakyat hadap isu perkauman'
- Hasbul Ahmad

- 9 hours ago
- 2 min read

Kekayaan negara tidak boleh terus tertumpu kepada kelompok tertentu sehingga menafikan hak majoriti rakyat, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah “Keadilan Untuk Rakyat Johor” di Bukit Bakri, malam tadi.
Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan hasil bumi dan peluang ekonomi, namun masih berdepan masalah ketirisan serta pengagihan tidak seimbang.
Menurutnya, prinsip Kerajaan Madani adalah memastikan kekayaan negara diagihkan secara adil kepada semua kaum termasuk orang Melayu, Cina, India, Orang Asli serta rakyat di Sabah dan Sarawak.
"Negeri ini kita semua punya. Kalau tanya semua kaum, Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak, masing-masing ada masalah dan rasa tidak puas hati. Jadi kita kena bincang sebagai kawan, bukan bermusuh.
"Saya sudah lama dalam politik, naik turun, kena tendang, masuk penjara pun sudah. Tapi sekarang saya mahu kita fikir masa depan negara ini secara bersama," kata Anwar di hadapan kira-kira 2,000 hadirin,
Beliau turut menegaskan bahawa masih wujud pihak tertentu yang memperalatkan isu bangsa dan agama namun pada masa sama mengumpul kekayaan sehingga berbilion ringgit.
"Negeri ini kaya, tetapi bocor banyak. Ada ketirisan, ada orang curi hasil negara. Sebab itu kita perlu perbaiki sistem.
"Kita kena jaga semua, negeri ini kita semua punya. Ada yang cakap soal Melayu, tapi harta dia berbilion,
"Bila datang undi, janji macam-macam. Bila ada kuasa, lain pula cerita," katanya menegaskan golongan seperti itu sering menggunakan sentimen perkauman untuk meraih sokongan politik, sedangkan tidak membantu golongan bawahan.
Dalam masa sama, Anwar berkata bahawa Kerajaan Madani tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam salah guna kuasa, tanpa mengira pangkat atau gelaran.
"Kita siasat tanpa kira Tun atau Tan Sri," katanya sambil menekankan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memastikan ketelusan.
Beliau turut menyentuh keperluan membela golongan miskin bandar, nelayan, petani serta pekerja bawahan yang masih bergelut dengan kos sara hidup.
Kata Anwar, pembangunan ekonomi seperti projek mega tidak boleh menenggelamkan keperluan rakyat bawahan kerana banyak infrastruktur asas seperti sekolah, kuarters polis dan kemudahan awam masih memerlukan pembaikan segera.
"Saya pergi ke banyak tempat. Pejabat polis, rumah nelayan, sekolah masih banyak yang uzur dan memerlukan perhatian. Maknanya banyak masalah kita belum selesai.
"Projek besar kita teruskan, tapi rakyat bawah juga mesti dijaga," ujarnya.
Beliau juga mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan politik kebencian yang memecah-belahkan masyarakat mengikut kaum.
"Kita bukan lawan Cina, Melayu, India atau Sabah dan Sarawak. Kita satu negara.
"Kalau pemimpin Melayu, kita mahu pemimpin Melayu yang bersih, tidak curi duit rakyat, tidak sombong dan menjaga rakyat di bawah," kata Anwar disambut sorakan hadirin.
Menurutnya lagi, masa depan negara bergantung kepada keupayaan rakyat untuk bersatu dan menolak politik perkauman yang hanya menguntungkan segelintir pihak.
"Kalau kita pakat jaga negeri ini bersama, kita semua akan untung. Jangan ikut politik kebencian yang hanya mahu menang pilihan raya
"Ini soal masa depan anak-anak kita, cucu kita dan kehidupan rakyat keseluruhannya," kata Anwar lagi.




Comments