top of page

Geran Rukun Tetangga naik RM10 ribu, kerajaan jaga rakyat - Yunes

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 14 minutes ago
  • 1 min read
DS Anwar menyampaikan geran bantuan kepada wakil KRT disaksikan Yuneswaran (kanan). Foto: FB Yunes
DS Anwar menyampaikan geran bantuan kepada wakil KRT disaksikan Yuneswaran (kanan). Foto: FB Yunes

Usaha berterusan Kerajaan MADANI memperkasa institusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terus membuahkan hasil apabila kadar geran tahunan KRT dinaikkan sehingga RM10,000 mengikut tahap keaktifan, sekali gus memperkukuh peranan komuniti sebagai penggerak perpaduan dan pembangunan di peringkat akar umbi.


Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran berkata, sejak diberi amanah memegang jawatan itu, antara fokus utamanya ialah memastikan peranan KRT terus diperkasa selaras dengan sumbangan besar institusi berkenaan kepada komuniti.


"Setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau melalui pengumuman peningkatan kadar geran tahunan KRT sehingga RM10,000 setahun berdasarkan tahap keaktifan.


"Kerajaan juga menyediakan geran RM10 juta bagi memperkasa agenda KRT Progresif yang telah membuka ruang kepada pelaksanaan lebih 100 projek ekonomi komuniti seluruh negara melibatkan keusahawanan, pertanian komuniti dan inisiatif menjana pendapatan.


"Saya percaya KRT adalah barisan hadapan perpaduan negara yang paling hampir dengan rakyat. Sebab itu usaha memperkukuh keupayaan KRT dari segi peruntukan, program dan pembangunan komuniti sentiasa menjadi keutamaan," katanya dalam satu kenyataan.


Dengan kekuatan 8,615 KRT di seluruh negara, Yuneswaran yakin institusi tersebut akan terus berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat dalam membina komuniti yang harmoni, selamat serta sejahtera.


"Terima kasih kepada semua Pengerusi KRT, ahli jawatankuasa dan sukarelawan yang terus berkhidmat tanpa mengenal penat lelah.


"Ayuh kita terus bergerak dengan semangat ‘Daripada Komuniti, Untuk Komuniti’ demi Malaysia MADANI yang lebih inklusif dan bersatu," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat.


Untuk rekod, dengan kenaikan geran tersebut lebih banyak aktiviti KRT dapat dijalankan dengan dibekalkan peralatan bersesuaian untuk berjaga dan rondaan malam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page