Gerak kerja pilihanraya disusun semula, Amirudin Pengarah Pilihanraya Bersama
- Redzuan Shamsudin

- 37 minutes ago
- 2 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengumumkan penyusunan semula strategi gerak kerja pilihanraya bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Biro Politik parti itu yang diadakan pada 25 Mei lalu.
Menurut beliau, antara yang dilakukan ialah pelatikan Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama bergandingan dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Selain itu, Datuk Azman Abidin dilantik sebagai Pengarah Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya (War Room), dibantu oleh Ruji Ubi bagi memperkukuh penyelarasan strategi dan operasi lapangan.
"Pelantikan ini merupakan sebahagian daripada penyusunan semula strategik parti bagi memastikan gerak kerja pilihan raya KEADILAN terus diperkemas, diselaraskan dan digerakkan secara lebih menyeluruh di semua peringkat," ujarnya.
Tambah Fuziah, penyusunan tersebut turut melibatkan pengukuhan struktur pilihanraya, penyelarasan antara negeri dan cabang serta peningkatan penggunaan data dan teknologi melalui sistem pilihanraya TERAS.
Dalam masa sama, katanya Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar akan terus memainkan peranan strategik dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti jentera parti.
"Tumpuan ini merupakan sebahagian daripada pelaburan parti terhadap anggota akar umbi supaya kekuatan KEADILAN terus dibina secara menyeluruh dan berterusan," jelas beliau.
Fuziah turut menegaskan bahawa kekuatan parti bukan hanya bergantung kepada pimpinan pusat tetapi juga kepada anggota di lapangan yang menjadi tulang belakang perjuangan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan KEADILAN menerima pertambahan keanggotaan baharu yang signifikan.
"Seramai 5,936 anggota baharu telah menyertai parti dari April hingga Mei, menunjukkan sokongan berterusan terhadap perjuangan KEADILAN," katanya.
Beliau menegaskan parti kini memasuki fasa seterusnya dengan tekad untuk memperkukuh saf kepimpinan serta memastikan seluruh jentera bergerak secara tersusun dan bersedia menghadapi cabaran pilihan raya akan datang.




Comments