top of page

Gelora politik Johor: Maruah dan mandat tidak boleh didagang


Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh Sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor, saya turut terpanggil untuk memberi pandangan berkaitan pergolakan Umno dan Bersatu di Johor kerana ia sudah keluar di saluran media. Rasa tidak puas hati Bersatu terhadap Umno Johor dikatakan berpunca daripada pelantikan jawatan penting dalam agensi kerajaan di negeri itu yang dikuasai Umno. Ia pertama kali ditimbulkan oleh Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri yang juga EXCO Negeri dan ADUN Tenang meminta parti lain yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar tidak memandang rendah keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan. Ia kemudian diikuti oleh pandangan Khaled Nordin, pemimpin Umno Johor, yang mengakui rapuhnya gabungan PN di Johor, tetapi menolak "habuan politik" dalam bentuk lantikan jawatan sebagai penyelesaiannya. Setelah itu, ADUN Permas daripada Bersatu, Che Zakaria Mohd Salleh pula mempertikaikan pelantikan Khaled Nordin sebagai pengerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG). Bahagi habuan Bagaimanapun, kedua-dua Khaled dan Che Zakaria kini telah ditawarkan lantikan baharu. Khaled Nordin dilantik sebagai Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif syarikat Boustead Holdings Bhd (Boustead) manakala Che Zakaria telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (KEJORA). Anehnya, Khaled Nordin sendiri menolak “habuan politik” tetapi kini telah menerima “habuan”. Seperti mana soal rakan saya Sheikh Omar, ADUN Paloh, disaat Khaled Nordin lantang menjadi suara “check and balance” kepada kerajaan PN, pelantikannya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melibatkan Kementerian Pertahanan bawah seliaan Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob (rakan sejawat Khaled sebagai Naib Presiden Umno) akan menimbulkan pelbagai persepsi. Apakah selepas lantang mengkritik PN, Khaled akhirnya mendapat habuan? Adakah Khaled akan tutup mulut daripada terus mengkritik kerajaan PN khususnya Bersatu sepertimana yang berlaku mutakhir ini di Johor? DNA Umno Saya sebenarnya tidak terkejut dengan lantikan dan situasi begini, apatah lagi DNA Umno telah kembali semula dalam kerajaan Negeri dan Persekutuan. Inilah mungkin satu-satunya jalan penyelesaian politik yang lazim bagi Umno. Beri habuan politik dan tutup mulut. Soalnya ialah cara mana penyelesaian ini dilakukan. Dari awal kejatuhan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) kepada kerajaan pintu belakang PN di Johor, kedudukan perbezaan kerusi DUN amatlah tipis, hanya perbezaan 2 kerusi, 29 vs 27. Kerajaan tetap dibentuk dengan bilangan majoriti tipis itu meskipun ramai yang mempersoalkan kemanakah dihumbankan mandat rakyat kepada PH yang diberi secara sah oleh rakyat melalui Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Ia tidak mungkin berlaku jika tidak kerana 11 ADUN daripada Bersatu dan seorang daripada KEADILAN yang berpaling tadah dan mengkhianati mandat rakyat. Pengkhianatan menghantui Hakikatnya, keputusan mereka itu terutama daripada Bersatu sedang menghantui mereka. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan ketergesaan membentuk kerajaan bersama Muafakat Nasional dan BN serta kehilangan jawatan Menteri Besar ialah akibat daripada kesilapan Bersatu sendiri yang membelakangkan bekas rakan-rakan dalam PH dan mandat rakyat dalam PRU yang lalu. Apakah kini Bersatu Johor sedar dan mahu kembali ke pangkuan PH? Apakah wajar PH menerima mereka setelah dikhianati mandat rakyat dan persefahaman PH? Memang benar jalan kebenaran dan bermaruah masih belum jauh di belakang. Namun nilai maruah yang dirobek itu terlalu tinggi untuk didagangkan hanya dengan perbuatan lompat melompat. Ia merupakan nilai maruah dan amanah yang diletak oleh rakyat, bukan oleh PH pun. Ia belum mengambil kira kekecewaan penyokong PH dan mungkin anggota Bersatu sendiri terhadap pengkhianatan tersebut sehingga menyebabkan kerajaan yang sah tumbang. Apakah semudah itu penyokong akan menerima semula mereka bersama PH? Utamakan prinsip Mungkin ada yang akan mengatakan ia satu keputusan politik. Benar. Tetapi pada pendapat saya, keputusan wajib bersandar kepada landasan prinsip yang betul, perbincangan tuntas di kalangan pimpinan serta menilai segala sudut. Bukan semata-mata politik kuasa dan kesempatan. Amatlah penting terutama dalam hawa politik sekarang, untuk PH terus mengukuhkan persefahaman dan setiakawan serta mengumpul kekuatannya sendiri di semua peringkat terutama di Johor, sebagai pembangkang yang kuat tanpa terdedah kepada sabotaj daripada mana-mana pihak. Parti Keadilan Rakyat Johor sedang menyatu padukan anggotanya pasca pembersihan parti daripada pengkhianat dan mengukuhkan penstrukturan serta pengurusan parti dengan penambahan anggota serta penubuhan ranting yang baru. Dengan kerjasama Amanah dan DAP, saya percaya PH boleh kembali menebus pengkhianatan dan mengembalikan mandat rakyat di Johor seperti yang diamanahkan dalam PRU yang lalu. ________________________________________________________________________________


Syed Ibrahim merupakan Pengerusi KEADILAN Negeri Johor dan juga Ahli Parlimen Ledang. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan

0 comments

Recent Posts

See All

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page