Gaza bakal jadi “Deklarasi Balfour Kedua”, tanah sekali lagi dirampas?
- Suara Keadilan

- Sep 27
- 2 min read

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (gambar) memberi amaran keras berkenaan spekulasi bahawa bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK), Tony Blair akan mengetuai pihak berkuasa peralihan sementara Gaza dengan restu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai satu bentuk “Deklarasi Balfour Kedua” yang bakal mengulangi penderitaan panjang rakyat Palestin selepas deklarasi pertama pada 2 November 1917 yang merampas bumi Palestin daripada umat Islam.
"Dahulu, pihak British telah merangka Deklarasi Balfour yang mewujudkan Israel dengan memberikan tanah (jajahan) yang bukan milik mereka, yang membawa kepada penderitaan panjang rakyat Palestin.
"Kini Blair, bekas Perdana Menteri Britain (didakwa) akan menguruskan tanah yang juga bukan dan tidak pernah menjadi milik mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Raja Bahrin mendakwa hubungan rapat Blair dengan Jared Kushner, menantu Trump, menimbulkan konflik kepentingan besar memandangkan Kushner dilaporkan terlibat dalam spekulasi projek membangunkan sebuah pusat peranginan di Gaza.
Menurut Raja Bahrin, penglibatan Blair juga mengingatkan kepada sejarah gelap penipuan mengenai “senjata pemusnah besar-besaran” di Iraq pada 2003, yang membawa kepada perang serta kematian ratusan ribu nyawa tidak berdosa.
Raja Bahrin menegaskan kegagalan berterusan Amerika Syarikat dan UK untuk bertindak sebagai orang tengah yang adil bagi Palestin kini menjadi legenda.
"Pengisytiharan terbaru oleh Trump bahawa Israel tidak dibenarkan menganeksasi Tebing Barat tanpa memasukkan Gaza dalam jaminannya, jelas menunjukkan beliau berniat untuk membenarkan Israel meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza bagi merealisasikan rancangan pembangunan pusat peranginan seperti yang dibayangkan oleh Jared Kushner di Gaza, yang bakal diurus dan ditadbir oleh rakannya Tony Blair," dakwanya.
Menurut beliau, melihat kepada perkembangan sekarang, persoalan besar yang timbul ialah walaupun UK telah mengiktiraf negara Palestin, adakah Gaza akan menjadi sebahagian daripadanya?
Ataukah dunia akan menyaksikan “Deklarasi Balfour Kedua” dengan penganeksasian Gaza oleh Israel dengan restu AS?
"Ini sekali lagi adalah amalan kejam lama, memberikan tanah yang bukan milik mereka kepada Israel dengan mengorbankan rakyat Palestin yang membayar dengan nyawa mereka," katanya lagi.
Spekulasi bertiup kencang baru baru ini bahawa Jared Kushner, menantu Presiden Trump, sedang mengusahakan pembangunan pusat peranginan di Gaza dengan Tony Blair bertindak sebagai penasihat.
Pembangunan seumpama itu hanya boleh dilakukan dengan Israel mengambil sepenuhnya wilayah Gaza daripada tangan rakyat Palestin dan mengusir penduduk asal.









Comments