Gangguan sistem, boleh beli petrol guna no Kad Pengenalan - Menteri KDN
- Suara Keadilan
- Sep 24
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Rakyat masih boleh menikmati petrol bersubsidi RM1.99 seliter sekiranya berlaku gangguan sistem, menerusi inisiatif kaunter manual yang disediakan dengan hanya menggunakan nombor kad pengenalan untuk semakan kelayakan.
Demikian jaminan diberikan oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) yang berkata langkah berkenaan diambil bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, sekali gus mengelakkan sebarang gangguan di stesen minyak.
"Takdir berlaku gangguan pada hari itu, MoF (Kementerian Kewangan) telah ingatkan, mereka (pengguna petrol) boleh pergi ke kaunter (stesen minyak) dan masukkan nombor kad pengenalan secara manual.
"Sistem dengan sendirinya akan beritahu begitu," katanya dalam muat naik di media sosial.
Saifuddin juga menasihatkan rakyat agar tidak menyerbu stesen minyak pada tarikh 30 September ini kerana skim BUDI95 berjalan sepanjang tahun dengan harga RM1.99 seliter.
''Saya juga ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa 30 September hanyalah tarikh bermula pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95.
''Jadi, kita semua tidak perlu berpusu-pusu membeli minyak pada hari tersebut. Harga subsidi bersasar BUDI95 akan kekal pada RM1.99 seliter untuk hari berikutnya.
''Jadi sebagai persediaan hari pelaksanaan BUDI95 ini, tukar cip MyKad yang rosak supaya tidak timbul masalah semasa penggunaannya untuk pengesahan kelayakan nanti,'' katanya.
Untuk rekod, pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini bagi warganegara tidak mengambil kira tahap pendapatan.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi bukan warganegara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh yang sama.
Pelaksanaan inisiatif itu dibuat di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Comments