Gabungan politik baharu Selangor: Jangan terlalu awal buat spekulasi - Saifuddin
- Azuan Ab Rahman

- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor terbuka untuk memperhalusi sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak yang benar-benar mahu menyumbang kepada kestabilan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri itu.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, beliau mengambil maklum kenyataan Ketua Pemuda Bersatu, Muhammad Hilman Idham berhubung kemungkinan kerjasama politik di Selangor
Bagaimanapun jelasnya, sebarang persefahaman perlu berasaskan keikhlasan, mempunyai titik pertemuan yang jelas serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
"Perkembangan di Pahang menyaksikan dua ADUN BERSATU menyokong Menteri Besar membuktikan perbezaan politik tidak semestinya menjadi penghalang kepada kerjasama jika kestabilan pentadbiran dan kepentingan rakyat diutamakan.
"Jika ada pihak yang mahu bersama-sama mendukung agenda tersebut dengan ikhlas, pintu sentiasa terbuka untuk berbincang," katanya dalam satu kenyataan.
Saifuddin menerusi kenyataan sama bagaimanapun menggesa semua pihak tidak terlalu awal membuat mengenai kemungkinan penjajaran atau pembentukan gabungan politik baharu di Selangor.
Tegasnya, walaupun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak di negeri itu, namun belum wujud sebarang perbincangan serius atau rasmi mengenai perkara tersebut setakat ini. .
"Buat masa ini rakyat mahu kerajaan terus bekerja, menyelesaikan masalah dan memastikan pembangunan Selangor bergerak lancar.
"Keutamaan Kerajaan Negeri adalah untuk terus mentadbir, bekerja dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Perhatian juga perlu diberikan kepada persediaan Belanjawan Selangor 2027 yang bakal menentukan hala tuju pembangunan negeri, program kesejahteraan rakyat serta keutamaan pentadbiran bagi tahun hadapan," tambahnya.




Comments