top of page

Fokus tiga strategi utama gelombang kedua krisis tenaga global

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Kerajaan akan memberi tumpuan kepada tiga strategi utama bagi menghadapi gelombang kedua krisis tenaga dunia yang dijangka memberi kesan kepada rantaian bekalan antarabangsa serta harga barangan di pasaran tempatan.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar) berkata pendekatan berkenaan merangkumi usaha memastikan bekalan keperluan asas rakyat sentiasa mencukupi, memanjangkan tempoh bekalan melalui pengurusan dan pengagihan sumber secara berhemat serta mengekang kenaikan harga menerusi pemantauan rapi dan tindakan penguatkuasaan tegas.


Menurut beliau, kerajaan sudah mengambil langkah awal dan terus memperkukuh kesiapsiagaan bagi memastikan rakyat terus dilindungi ketika dunia berdepan tekanan baharu susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global.


"Strategi ini dilaksanakan bagi memastikan rakyat terus dilindungi sementara negara menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan global.


"Dalam menghadapi tekanan ini, kerajaan tidak akan membiarkan rakyat menanggungnya bersendirian," katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan hari ini.


Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, gelombang kedua krisis berkenaan dijangka berlaku secara berperingkat dan pengguna mungkin menyaksikan pelarasan harga bagi sesetengah barangan selain gangguan bekalan sementara dalam tempoh tertentu.


Bagaimanapun katanya, kerajaan komited meminimumkan kesan terhadap rakyat melalui langkah campur tangan bersasar dan pengurusan teliti di semua peringkat.


"Kini, dunia sedang memasuki gelombang kedua iaitu gangguan kepada bekalan barangan berasaskan minyak dan gas yang menyokong pelbagai sektor serta keperluan harian merangkumi pembungkusan makanan, barangan pengguna, sektor kesihatan serta logistik.


"Apabila bekalan global terganggu, pengeluaran akan menjadi terhad dan kos akan meningkat. Kesan ini dijangka dirasai secara berperingkat dalam tempoh akan datang," ujarnya.


Beliau berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa di peringkat antarabangsa selain menyelaras tindakan antara kementerian, agensi dan pemain industri bagi memastikan sebarang gangguan dapat ditangani dengan segera.


Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat memainkan peranan bersama dengan menggunakan sumber secara berhemah, mengelakkan pembaziran dan mengutamakan keperluan asas.


"Usaha kerajaan perlu disokong oleh semua pihak dan rakyat diseru untuk menggunakan sumber secara berhemat, mengelakkan pembaziran dan mengutamakan keperluan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page