Filipina isytihar darurat tenaga, ratusan stesen minyak ditutup
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Krisis bekalan minyak global semakin meruncing susulan konflik berterusan di Asia Barat dengan terbaru Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. mengisytiharkan darurat tenaga negara sebagai langkah berjaga-jaga terhadap gangguan bekalan dan lonjakan harga minyak dunia.
Memetik laporan media antarabangsa, Marcos berkata konflik tersebut telah mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global, mengganggu rantaian bekalan serta meningkatkan tekanan kenaikan harga minyak mentah di peringkat antarabangsa.
Beliau menegaskan situasi semasa merupakan “ancaman segera” kepada bekalan tenaga negara, selain menyifatkan krisis itu sebagai “mengancam keselamatan tenaga negara”.
"Pengisytiharan darurat tenaga ini akan membolehkan kerajaan melaksanakan langkah responsif dan terselaras di bawah undang-undang sedia ada bagi menangani risiko gangguan bekalan tenaga global serta kesannya terhadap ekonomi domestik," katanya dipetik Xinhua.
Tambah beliau, konflik Asia Barat telah menyebabkan “gangguan rantaian bekalan yang serius serta turun naik ketara dan tekanan kenaikan terhadap harga minyak antarabangsa”.
Susulan itu, Filipina menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan pergerakan, bekalan dan pengedaran bahan api serta barangan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan produk pertanian dapat dilaksanakan secara teratur.
Darurat tenaga yang berkuat kuasa selama setahun itu turut memberi kuasa kepada kerajaan untuk memperoleh bekalan petroleum dengan lebih pantas, termasuk membuat bayaran pendahuluan bagi menjamin bekalan mencukupi.
Dalam perkembangan berkaitan, laporan Xinhua mendedahkan lebih 400 stesen minyak di Filipina telah menghentikan operasi akibat kenaikan harga bahan api yang mendadak.
Jurucakap Polis Nasional Filipina, Randulf Tuano berkata jumlah stesen yang ditutup meningkat kepada 403 berbanding 273 sebelum ini.
"Kami telah memantau sebanyak 14,313 stesen minyak di seluruh negara, dan bekalan bahan api sedia ada dijangka hanya mampu bertahan sehingga pertengahan April," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah membuka kertas siasatan terhadap kes penyorokan, penjualan haram dan aktiviti mengaut keuntungan berlebihan.
Krisis ini mencerminkan kesan domino konflik Asia Barat terhadap ekonomi global, dengan negara-negara pengimport minyak kini berdepan tekanan inflasi dan risiko gangguan bekalan yang semakin serius sekiranya konflik terus berlarutan.
Konflik Asia Barat yang tercetus sejak akhir Februari lalu melibatkan ketegangan ketenteraan antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran yang menyasarkan kemudahan tenaga strategik di rantau Teluk.
Serangan ke atas infrastruktur minyak dan gas utama telah mencetuskan gangguan besar kepada bekalan tenaga global.
Situasi menjadi semakin kritikal apabila laluan utama perdagangan tenaga dunia, Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak global — terjejas teruk, sekali gus mengekang aliran eksport minyak dan gas ke pasaran antarabangsa.
Menurut laporan media antarabangsa, harga minyak mentah melonjak melebihi AS$100 setong, malah pernah menghampiri AS$120 setong susulan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan.
Selain itu, sekurang-kurangnya 40 kemudahan tenaga di Asia Barat dilaporkan mengalami kerosakan teruk akibat serangan yang dijangka mengambil masa panjang untuk dipulihkan dan berpotensi mengekalkan harga minyak pada paras tinggi.
Penganalisis tenaga turut memberi amaran bahawa gangguan berpanjangan boleh mencetuskan risiko sistemik kepada ekonomi global, termasuk inflasi tinggi, kenaikan kos pengangkutan dan tekanan terhadap negara pengimport tenaga, khususnya di Asia.




Comments