Fasa negara menua: Amal budaya hidup sihat, berdikari - Dr Wan Azizah
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 1 min read

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar) menyeru rakyat Malaysia mengamalkan budaya hidup sihat dan berdikari agar mampu mengharungi fasa negara menua.
Beliau berkata, kesedaran itu penting memandangkan jangka hayat penduduk negara ini semakin panjang.
"Anak-anak kita mungkin sibuk dengan kerja, kerjaya masing-masing, keluarga masing-masing dan sekarang ini kita lebih lama hidup (jangka hayat panjang). Jadi kita mesti berdikari, hidup mesti sihat," katanya dipetik laporan media.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata begitu ketika merasmikan program larian santai Chung De Cheras Family Fun Run 2026 di Taman Tasik Permaisuri pada Ahad.
Program turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, Wakil Pegawai Penerangan Daerah Bandar Tun Razak Syaiful Harif Adnan dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Puan Oh Siew Lian.
Antara aktiviti dianjurkan pada acara tersebut antaranya sesi zumba, pemeriksaan kesihatan percuma oleh Hospital Pantai Cheras, gerai permainan serta edaran risalah kempen keselamatan oleh Komuniti Madani dan program advokasi keselamatan digital oleh Jabatan Penerangan (JaPen) daerah.
Sementara itu, Dr Wan Azizah dalam ucapannya turut mengingatkan masyarakat bandar agar sentiasa memupuk keharmonian, saling menjaga kebajikan antara satu sama lain, serta memastikan kemakmuran negara dapat dikongsi bersama secara saksama tanpa membiarkan golongan miskin terus tercicir.




Comments