top of page

Fasa baharu Palestin: 'Pertempuran diplomatik' selepas gencatan senjata

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 10
  • 2 min read

ree

Perjuangan rakyat Palestin masih panjang sebelum memperolehi kemerdekaan tanah air mereka.


Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH), Raja Bahrin Shah (gambar), selepas gencatan senjata berkuatkuasa di Gaza, perjuangan rakyat Palestin memasuki fasa baharu daripada pertempuran bersenjata kepada medan diplomasi yang lebih getir di bawah pengaruh kuasa besar dunia.


Katanya, di sebalik euforia sementara gencatan senjata yang disambut baik oleh dunia, hakikat sebenar ialah perjuangan untuk membebaskan Palestin kini berdepan cabaran di bawah “Lembaga Keamanan” yang diketuai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan sekutunya.


"Pertempuran bersenjata akan digantikan dengan perjuangan pahit untuk mengatasi penindasan-apartheid bertahap penjajahan di bawah Lembaga Keamanan yang diketuai oleh Trump," katanya dalam satu kenyataan.


Jelas Raja Bahrin, Amerika Syarikat (AS) dan Israel kini berusaha mengalihkan perhatian daripada peranan langsung mereka dalam konflik Gaza dengan menyerahkan kendalian diplomatik kepada United Kingdom (Britain) — kuasa kolonial yang memainkan peranan besar dalam pembentukan Israel melalui Deklarasi Balfour pada 2 November 1917.


"Siapa lagi yang ‘lebih sesuai’ mewakili Britain selain Tony Blair, bekas Perdana Menteri yang menyumbang kepada perpecahan Iraq walaupun dakwaan palsu tentang senjata pemusnah besar-besaran tidak pernah ditemui," katanya.


Beliau mengkritik laporan akhbar British, The Observer yang menggambarkan Tony Blair sebagai “Tony of Arabia”, menyindir peranan baharu UK dalam politik Asia Barat yang disifatkannya sebagai kesinambungan strategi “pecah dan perintah” penjajah.


"Tidak mustahil orang Palestin juga akan di pecah belah untuk bertelagah sesama sendiri sekarang. Lagipun Tony Blair mempunyai pengalaman yang “berkelayakan” dalam memusnahkan negara Iraq yang pernah berkuasa, yang kini huru-hara dengan pelbagai faksi yang saling bertentangan," katanya.


Dalam pada itu, Raja Bahrin mengingatkan bahawa kekuatan sebenar dunia Islam terletak pada perpaduan, sebagaimana pernah ditunjukkan semasa kepimpinan Almarhum Raja Faisal dari Arab Saudi yang menggunakan embargo minyak untuk menentang kuasa Barat dan Israel.


"Masalahnya ialah negara-negara Muslim-Arab hari ini berpecah, menjadikan Iran hampir satu-satunya negara Muslim yang secara terbuka menentang penindasan Israel dan AS, tetapi perpecahan Sunni–Syiah dan strategi pecah dan perintah kuasa barat menghalang kesatuan umat Muslim," ujarnya.


Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia perlu berwaspada terhadap strategi licik UK yang disifatkan sebagai “munafik” kerana mengiktiraf Palestin tetapi pada masa sama terus membekalkan senjata kepada Israel.


"Strategi licik kolonial Britain dan pengalaman panjangnya di Timur Tengah adalah sesuatu yang perlu diwaspadai. Daya penipuan Britain yang mengiktiraf Palestin tetapi pada masa sama meneruskan pembekalan senjata kepada Israel untuk membunuh rakyat Palestin, serta pengharaman terhadap P.A. — Palestin Authority, adalah kontradiktori dan munafik. Britain juga harus dianggap sebagai sekutu berbahaya kepada Israel," katanya.


Dalam konteks diplomasi serantau, Raja Bahrin menyeru agar Malaysia memainkan peranan aktif melalui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutama dalam kerangka ASEAN dan BRICS, bersama Indonesia untuk memperjuangkan hak Palestin di pentas antarabangsa.


"Lawatan Trump yang tidak dialu-alukan itu (ke Sidang ASEAN) harus dianggap sebagai rahmat yang disamarkan — peluang untuk menyampaikan mesej tegas kita kepadanya," tambahnya.


Justeru Raja Bahrin menganggap, perjanjian damai Gaza bukanlah noktah kepada perjuangan Palestin tetapi hanya “penangguhan singkat” sebelum perjuangan diplomatik diteruskan.


Malaysia, katanya, boleh turut serta secara aktif melalui kemahiran diplomasi Datuk Anwar Ibrahim dan usaha untuk memantapkan lagi kesatuan negara-negara Muslim, termasuk menentang sikap munafik Britain melalui campur tangan tidak wajar selepas ini dalam pentadbiran Gaza.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page