Farahida tegur Pas: Jangan politikkan agama, halalkan budaya tak beradab
- Azuan Ab Rahman

- 1 hour ago
- 1 min read

Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Wanita KEADILAN Pusat membidas kenyataan Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Salleh yang melabel tindakan undang-undang terhadap pengguna media sosial dikenali sebagai “Jorjet Mylas” sebagai “intimidasi terhadap wanita”.
Farahida Fauzi (gambar) menerusi satu kenyataan menyifatkan kenyataan Nuridah yang turut memetik beberapa potongan Al-Quran sebagai mengelirukan, malah mendakwa cubaan untuk menghalalkan budaya hinaan, cacian dan bahasa lucah atas nama Islam.
"Hari ini, yang lebih membimbangkan bukan sekadar individu yang menghina tetapi pihak yang secara terbuka mempertahankan penghinaan itu.
"Jika ini standard yang ingin (pembangkang) bawa, maka jangan hairan jika masyarakat semakin rosak," tegas Exco Wanita KEADILAN Pusat itu.
Berdasarkan video yang dikongsikan warganet di media sosial, individu berusia 38 tahun yang ditahan polis itu dikesan membuat beberapa kenyataan hinaan dengan kata-kata jelik dan lucah melampau.
Warganet turut mengecam tingkah laku tersebut dengan menyifatkanya sebagai tidak beradab dan menjatuhkan kehormatan diri seorang wanita.
Menerusi kenyataan sama, Farahida turut menegur Nuridah yang didakwa menyalah tafsir kisah Umar ibn al-Khattab.
Berbanding individu yang disiasat itu, wanita yang menegur Umar dalam kisah tersebut jelas berhujah dengan ilmu dan adab bukan dengan makian, cercaan dan kata-kata kesat.
"Jangan samakan cahaya kebenaran dengan kegelapan kebiadaban. Ini bukan soal menutup suara wanita atau menafikan hak bersuara.
"Ini soal yang lebih besar. Memelihara akhlak masyarakat, menjaga maruah wanita daripada diperalatkan dan melindungi generasi daripada dinormalisasikan dengan budaya jijik
"Jadi, cukup-cukuplah mempolitikkan agama untuk menutup kesalahan yang jelas," katanya.
Menerusi kenyataan sama beliau turut mempersoalkan, cubaan terdesak parti Pas mempertahankan tindak tanduk wanita tersebut, apakah memberi isyarat bahawa parti itu kini menyokong penggunaan bahasa lucah dan tidak adab untuk menyerang peribadi Perdana Menteri.




Comments