Faizul tekad menang di DUN Tanjung Surat, angkat isu setempat
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani menegaskan beliau bukan sekadar bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya bertekad memenangi kerusi berkenaan menerusi khidmat dan komitmen kepada rakyat.
Faizul yang bertanding menggunakan nombor satu dalam pertandingan dua penjuru berkata, pencalonannya membawa amanah besar untuk memperjuangkan kepentingan penduduk Tanjung Surat.
"Saya bertanding sebagai calon HARAPAN bagi N39 DUN Tanjung Surat sempena Pilihan Raya Negeri Johor 2026.
"Saya bertanding sebagai calon nombor 1 dalam pertandingan dua penjuru di DUN Tanjung Surat. Amanah ini saya terima dengan penuh rasa tanggungjawab untuk membawa suara rakyat, memperkukuh khidmat setempat dan memastikan Tanjung Surat tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan Johor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menolak tanggapan bahawa calon PH hanya bertanding untuk melengkapkan pertandingan.
"Saya menolak label sesetengah pihak yang mengatakan calon HARAPAN hanya sekadar bertanding. Saya hadir dengan komitmen jelas untuk menang, dengan memenangi hati pengundi melalui kerja, khidmat dan keikhlasan," katanya.
Faizul turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir memberikan sokongan pada hari penamaan calon, termasuk Kamri Kamaruddin, jentera PH, KEADILAN Cabang Pengerang dan para penyokong.
Beliau menyeru seluruh jentera pilihan raya mempergiatkan gerak kerja bagi mendekati pengundi di seluruh kawasan DUN Tanjung Surat.
"Kepada seluruh jentera, saya menyeru agar kita bekerja keras, turun menyantuni pengundi di seluruh pelusuk DUN Tanjung Surat dan menyampaikan mesej kejayaan serta usaha Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ekonomi negara meskipun berdepan cabaran global," katanya.
Menurut beliau, isu-isu setempat seperti kebajikan rakyat, peluang ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan pembangunan seimbang akan menjadi keutamaan sepanjang kempen.
"Dalam masa yang sama, saya akan terus mengangkat isu-isu setempat yang disampaikan oleh rakyat di sini, termasuk keperluan komuniti, kebajikan penduduk, peluang ekonomi, infrastruktur, pendidikan serta pembangunan kawasan secara lebih seimbang dan tersusun," katanya.
Faizul berkata, pengalaman hampir lima tahun turun padang di seluruh Parlimen Pengerang sebagai Ketua Cabang KEADILAN Pengerang dan Pengerusi PH Pengerang memberi keyakinan bahawa kepercayaan rakyat hanya dapat dibina melalui khidmat yang konsisten.
"Saya mengenali denyut nadi rakyat setempat dan percaya keyakinan rakyat hanya dapat dibina melalui keberadaan, khidmat dan kesungguhan yang konsisten," katanya.




Comments