top of page

Faiq komited hidupkan seni budaya silat di DUN Serkam

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
19 hours ago
2 min read
Jentera kempen PH Serkam mengunjungi gelanggang persilatan
Jentera kempen PH Serkam mengunjungi gelanggang persilatan

"Kita tidak mahu seni budaya silat hanya tinggal sebagai warisan orang terdahulu. Sebaliknya, ia mesti terus dipelajari, diamalkan dan diwariskan kepada generasi muda supaya tidak hilang ditelan zaman.


"Silat bukan sekadar ilmu mempertahankan diri, tetapi turut mendidik anak-anak muda tentang disiplin, adab, jati diri dan menghormati orang lain," kata calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Muhammad Faiq Azman.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tiga gelanggang silat di sekitar DUN Serkam iaitu Silat Gerak Tepat, Silat Bantan dan Silat Kuningan dan bertemu guru-guru silat bagi mendengar perkembangan dan cabaran yang dihadapi mereka.


"Usaha memulihara seni warisan itu memerlukan komitmen berterusan, termasuk memberikan perhatian kepada keperluan gelanggang dan tenaga pengajar yang selama ini memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda.


"Saya melihat guru-guru silat mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan ilmu ini terus diwariskan. Pengorbanan dan usaha mereka perlu dihargai kerana bukan mudah untuk mengekalkan sesuatu warisan tanpa sokongan berterusan.


"Jika kita mahu anak-anak muda mengenali budaya sendiri, mereka perlu diberikan peluang untuk mendekati dan mempelajari seni silat sejak awal," katanya.


Jangan lupa seni budaya tradisional


Beliau berkata, kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup tidak seharusnya menyebabkan generasi muda melupakan seni budaya tradisional.

 Faiq (kiri) bersama guru silat
 Faiq (kiri) bersama guru silat

"Kita boleh menerima kemajuan dan belajar perkara baharu, tetapi jangan sampai kita melupakan identiti dan warisan sendiri.


"Saya mahu seni silat terus menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Serkam, bukan sekadar dipersembahkan ketika majlis atau acara kebudayaan, tetapi terus hidup melalui gelanggang dan penglibatan anak-anak muda," katanya.


Sementara itu, Guru Utama merangkap Presiden Persatuan Seni Silat Gerak Tepat Melaka, Tuan Guru Aziz bin Md Said berkata, generasi muda perlu mempertahankan seni mempertahankan diri warisan bangsa meskipun berdepan perubahan zaman dan kemajuan teknologi.


"Zaman sekarang macam-macam kemajuan yang kita lihat, tetapi jangan sampai anak-anak muda lupa hal seni, budaya dan warisan sendiri. Apa yang sudah ada perlu kita pertahankan.


"Ilmu ini mesti dititiskan daripada orang lama kepada orang baharu. Kalau tidak ada usaha mewariskannya, akhirnya ilmu dan seni yang kita ada hari ini boleh terputus begitu sahaja," katanya.


Beliau turut mengingatkan bahawa usaha memelihara warisan silat bukan hanya terletak pada bahu guru-guru, sebaliknya memerlukan minat dan kesediaan generasi muda untuk mempelajarinya.


"Jangan kerana kita mengejar kemajuan, kita menganggap perkara seperti ini sudah tidak penting. Kemajuan tidak boleh kita tolak, tetapi warisan sendiri jangan ditinggalkan.


"Anak-anak muda perlu belajar dan mengenali seni ini supaya silat terus hidup dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page