Fahmi Bukan Kambing Hitam: Berani Mohon Maaf, Jangan Lupa Jasanya
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 4 min read

Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: Saya mengikuti dengan penuh perhatian perkembangan Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka, khususnya kritikan yang dilemparkan terhadap Ketua Penerangan KEADILAN merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Namun yang lebih menarik perhatian saya ialah keberanian dan sifat rendah diri beliau untuk berdiri di hadapan seluruh perwakilan serta kepimpinan tertinggi parti lalu memohon maaf secara terbuka.
Beliau tidak melarikan diri daripada kritikan. Beliau mendengar, mengakui terdapat kelemahan dalam aspek komunikasi dan penerangan, dan bersedia memperbaikinya.
Pada saya, itu bukan tanda pemimpin yang lemah. Itu tanda pemimpin yang mempunyai keberanian untuk bermuhasabah.
Jangan hukum atas satu kelemahan
Saya mengenali susuk Datuk Seri Fahmi dan mengikuti perjalanan kerjayanya dengan teliti.
Pada pandangan saya, beliau seorang Menteri yang bekerja keras dan sentiasa cuba memberikan yang terbaik dalam portfolio yang amat mencabar.
Kementerian Komunikasi bukan kementerian biasa. Ia berhadapan dengan dunia yang bergerak hampir 24 jam sehari — media sosial, kecerdasan buatan, berita palsu, penipuan dalam talian, fitnah, manipulasi maklumat dan serangan politik yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Menteri Komunikasi bukan sahaja perlu menjadi pentadbir. Beliau perlu menjadi pengurus krisis, pembuat dasar, komunikator dan pada masa sama menjadi salah satu benteng utama penerangan Kerajaan MADANI.
Sebab itu tidak tepat jika segala kelemahan komunikasi atau masalah pada mana-mana agensi di bawah kementerian secara automatik diletakkan sepenuhnya di atas bahu Menteri.
Reformasi komunikasi secara menyeluruh
Kita juga jangan lupa bahawa di bawah kepimpinan Fahmi, kerajaan telah mengambil langkah lebih tegas dalam menangani penyalahgunaan ruang digital.

MCMC sendiri telah mengambil pendirian bahawa penyalahgunaan platform dalam talian untuk scam, penipuan, aktiviti siber berniat jahat serta kandungan yang mengancam keselamatan awam dan keharmonian negara perlu ditangani secara tegas.
Ini bukan tugas kecil.
Hari ini, media sosial telah menjadi medan utama penyebaran maklumat — dan pada masa yang sama boleh menjadi medan penyebaran fitnah, berita palsu serta kandungan yang melanggar undang-undang.
Maka usaha memperkukuhkan undang-undang dan penguatkuasaan dalam ruang digital perlu dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab besar Kementerian Komunikasi.
Penghargaan kepada MCMC
Dalam hal ini, saya ingin memberikan penghargaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah kepimpinan Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Beliau telah menunjukkan pendekatan yang tegas dan profesional dalam memastikan ruang digital tidak disalahgunakan untuk aktiviti yang melanggar undang-undang.
MCMC sendiri telah menyatakan komitmennya untuk mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan platform dalam talian, termasuk scam, penipuan, aktiviti siber berniat jahat serta kandungan yang boleh mengganggu kestabilan dan keharmonian masyarakat.
Pada saya, inilah contoh kerjasama yang perlu diperkukuhkan lagi iaitu Menteri menetapkan dasar — agensi melaksanakan dengan pantas — dan seluruh jentera komunikasi bergerak sebagai satu pasukan.
Saya juga berpandangan bahawa sekiranya terdapat kelemahan pada mana-mana agensi di bawah kementerian, termasuk pada peringkat kepimpinan pemangku atau pengurusan tertentu, perkara itu memang perlu diperbaiki. Tetapi jangan kerana ada kelemahan pada satu bahagian, seluruh kementerian dan Menterinya dihukum.
Menteri boleh memberikan arahan, menetapkan dasar atau meminta tindakan segera. Tetapi keberkesanan sesuatu kementerian akhirnya bergantung kepada seluruh jentera di bawahnya untuk bergerak proaktif, pantas dan sentiasa siap siaga.
Dalam era media sosial, kelewatan beberapa jam boleh menyebabkan sesuatu isu kecil menjadi krisis besar. Sebab itu semua ketua agensi dan jentera komunikasi perlu bergerak seiring dengan Menteri — bukan menunggu Menteri bertindak setiap kali berlaku serangan.
Musuh Kerajaan Madani tidak pernah tidur
Kita perlu realistik. Kerajaan MADANI dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhadapan dengan serangan politik yang berlaku hampir setiap hari.
Media sosial telah menjadi medan perang politik baharu. Fitnah, berita palsu, manipulasi video, potongan kenyataan di luar konteks dan serangan peribadi boleh tersebar kepada jutaan pengguna dalam masa beberapa minit.
Justeru, kita memerlukan sebuah jentera komunikasi kerajaan yang lebih pantas daripada penyebaran fitnah. Bukan hanya bertindak selepas sesuatu menjadi viral.
Kita memerlukan sistem pengesanan awal, respons pantas dan tindakan undang-undang yang berkesan apabila berlaku pelanggaran undang-undang. Dalam hal ini, MCMC di bawah Tan Sri Salim mempunyai peranan yang amat penting.
Perkemas komunikasi, Penerangan
Sebagai Ketua Penerangan KEADILAN pula, tugas Fahmi jauh lebih besar daripada sekadar mempertahankan parti. Beliau perlu membantu menjelaskan kepada rakyat apa yang kerajaan lakukan, mengapa sesuatu dasar dibuat dan apakah manfaatnya kepada rakyat.
Saya bersetuju bahawa ruang komunikasi dan penerangan masih boleh diperkemaskan. Tetapi Fahmi sendiri telah mengakui kelemahan tersebut. Maka, pada saya, pengakuan itu harus dijadikan titik permulaan untuk pembaikan, bukannya alasan untuk menjatuhkan beliau.
Sekarang bukan masa untuk terus menuding jari. Sekarang masa untuk membina semula jentera penerangan.
Kritikan dalam parti adalah perkara biasa. Malah, kritikan yang membina sangat diperlukan. Tetapi apabila kritikan berubah menjadi tuntutan supaya seorang pemimpin meletakkan jawatan hanya kerana terdapat kelemahan komunikasi, saya fikir kita perlu bertanya adakah itu benar-benar penyelesaian?
Atau kita sebenarnya sedang mencari seorang kambing hitam? Fahmi sudah berdiri di hadapan perwakilan mengakui kelemahan dan memohon maaf.
Maka berilah beliau peluang untuk membuktikan bahawa beliau mampu memperbaiki keadaan. Dalam politik, kita harus bijak membezakan antara kritikan yang membina parti dengan kritikan yang melemahkan parti.
Kepada Datuk Seri Fahmi Fadzil, nasihat saya mudah, jangan terlalu mengambil hati terhadap suara-suara negatif. Ambil kritikan yang benar sebagai bahan untuk memperbaiki diri.
Perkuatkan pasukan, ketua-ketua agensi. Pastikan setiap agensi di bawah Kementerian Komunikasi bergerak pantas dan proaktif. Bina sistem komunikasi yang mampu menjawab fitnah dengan fakta. Dan sebagai Ketua Penerangan KEADILAN, pastikan setiap kejayaan Kerajaan MADANI sampai kepada rakyat dengan bahasa yang mudah, fakta yang jelas dan pendekatan yang dekat dengan denyut nadi rakyat.
Fahmi tidak perlu menjadi sempurna. Rakyat perlukan ialah pemimpin yang bekerja, mahu belajar, sanggup menerima teguran dan berani memperbaiki kelemahan.
Justeru, pada hemat saya Fahmi perlu jadikan kritikan sebagai bahan bakar. Jadikan Kementerian Komunikasi lebih tangkas.
Jadikan jentera Penerangan KEADILAN lebih agresif, tersusun dan profesional.
Bersama-sama dengan agensi seperti MCMC di bawah kepimpinan Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, pastikan ruang digital negara terus dipertahankan daripada penyalahgunaan, penipuan, fitnah dan kandungan yang melanggar undang-undang.
Jangan jadikan Fahmi kambing hitam.
Penulis merupakan penganalisis politik dan Pengerusi Biro Politik SEKPUR




Comments