top of page

Faez mahu pendidikan jadi keutamaan di DUN Labu

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 1 min read
Datuk Faez (berbaju batik) di tengah tengah murid sekolah rendah
Datuk Faez (berbaju batik) di tengah tengah murid sekolah rendah

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak mahu isu pendidikan terus diberi perhatian dengan memastikan pelajar di kawasan itu tidak tercicir daripada sistem persekolahan.


Menurut beliau, pendidikan bukan sekadar membabitkan kemudahan fizikal sekolah, tetapi turut melibatkan usaha mendekati pelajar dan keluarga yang berdepan masalah untuk hadir ke sekolah.


"Saya sehingga satu masa pergi cari budak-budak ponteng sekolah.


"Saya datang dengan pengetua dan saya cari budak-budak yang ponteng sekolah," jelas Faez.


Faez berkata, tindakan itu dilakukan selepas mendapati masih terdapat segelintir ibu bapa yang tidak melihat pendidikan sebagai satu keutamaan.


"Kerisauan kita adalah ada sesetengah ibu bapa menganggap pendidikan ini bukan satu prioriti.


"Bukan satu kepentingan bagi mereka," katanya.


Faez berkata, rekod penglibatan beliau dalam bidang pendidikan boleh dilihat menerusi aktiviti yang dikongsikan di media sosial, termasuk lawatan ke sekolah-sekolah di seluruh DUN Labu.


Katanya, beliau turut menggunakan peruntukan DUN bagi membantu sekolah menerusi kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur, sumbangan kepada tadika serta penyediaan peralatan bagi menyokong aktiviti pendidikan termasuk podcast sekolah.


"Saya sangat menggalakkan aktiviti di sekolah. Saya banyak guna peruntukan DUN saya untuk membaiki sekolah, banyak saya sumbang untuk tadika, peralatan untuk menjayakan podcast sekolah dan terutamanya untuk tujuan infrastruktur sekolah," jelas Faez lagi.


Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, DUN Labu menyaksikan saingan tiga penjuru antara Faez, penyandang Mohamad Hanifah Abu Baker daripada Bersatu dan calon Barisan Nasional (BN), Siti Nur Umaira Hasim.


DUN Labu mempunyai seramai 32,884 pengundi berdaftar dengan komposisi Melayu sebanyak 76.2 peratus, Cina (7.4 peratus), India (13.3 peratus), Orang Asli (1.5 peratus) dan lain-lain (1.6 peratus).

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page