Jangan jadikan paderi, biarawati bahan jenaka seksual – Abun


Tindakan Ketua Bahagian Umno Sepang yang didakwa menjadikan kisah seorang paderi (Father) dan biarawati Katolik sebagai bahan jenaka berunsur seksual dalam ucapan di Perhimpunan Agung Umno 2026 terus mendapat kecaman.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit berkata perbuatan pemimpin bahagian Umno itu sangat tidak patut, tidak wajar dan menyentuh soal maruah serta sensitiviti agama dalam jenakanya.
"Father dan biarawati bukan sekadar watak yang boleh digunakan sesuka hati untuk mencetuskan gelak ketawa dalam sesuatu cerita politik.
"Mereka ialah hamba-hamba Tuhan yang mengabdikan kehidupan kepada Tuhan (mengikut kepercayaan Kristian), pelayanan kepada umat dan khidmat kepada masyarakat. Mereka memilih kehidupan yang penuh disiplin, pengorbanan, kesetiaan dan komitmen moral," kata Abun dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kehidupan dan pelayanan golongan berkenaan dipandang mulia serta dihormati oleh umat Katolik di seluruh dunia.
"Justeru, saya ingin bertanya mengapa perlu Father dan biarawati dipilih sebagai bahan jenaka seksual?

"Daripada begitu banyak contoh yang boleh digunakan untuk menyampaikan sesuatu mesej politik, mengapa memilih dua golongan yang begitu dihormati dan mempunyai kedudukan yang mulia dalam kehidupan umat Kristian dan Katolik?" katanya.
Beliau berkata perkara itu bukan lagi soal selera humor, sebaliknya membabitkan maruah, penghormatan dan sensitiviti agama.
Katanya, penggambaran seorang Father dan biarawati dalam konteks seksual untuk mendapatkan gelak ketawa bukan sahaja tidak menghormati individu terbabit, malah berpotensi mencalarkan martabat kehidupan serta pelayanan golongan berkenaan dalam Gereja Katolik.
Abun Sui turut mempersoalkan kaitan cerita berkenaan dengan Mazmur 129, dengan mendakwa maksud dan tafsiran yang diberikan dalam ucapan tersebut tidak terdapat dalam teks sebenar Mazmur 129 dalam Alkitab.
"Saya memandang serius perkara ini kerana apabila sesuatu maksud yang tidak terdapat dalam Kitab Suci dikaitkan seolah-olah ia merupakan maksud atau ajaran daripada Mazmur tersebut, ia boleh memberikan gambaran yang salah kepada masyarakat mengenai kandungan Kitab Suci Kristian dan Katolik," katanya.
Beliau menegaskan Kitab Suci tidak seharusnya ditokok tambah, diputarbelitkan atau diberikan maksud sesuka hati untuk menguatkan sesuatu jenaka atau perumpamaan politik.
Dalam pada itu, Abun Sui berkata Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang terdiri daripada masyarakat pelbagai agama dan kepercayaan.
"Jika kita mahu agama kita sendiri dihormati, maka kita wajib menghormati agama orang lain.
"Kita tidak boleh mempunyai dua standard dalam soal sensitiviti agama, serius apabila agama sendiri disentuh, tetapi menganggapnya sebagai gurauan apabila agama orang lain dipersendakan," katanya.
Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang
itu berkata perbezaan pandangan politik dan kritikan terhadap kerajaan, pembangkang, pemimpin serta dasar negara boleh berlaku, namun agama, Kitab Suci dan golongan yang mengabdikan diri kepada kehidupan rohani tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka seksual atau alat untuk mendapatkan tepukan politik.
Abun Sui turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak berdiam diri dan tidak memandang ringan perkara itu.
"Sekiranya laporan polis dibuat, saya berharap siasatan dijalankan secara telus, profesional dan tanpa pilih kasih, termasuk menentukan sama ada kenyataan tersebut mempunyai unsur yang melanggar undang-undang atau berpotensi menjejaskan keharmonian antara penganut agama di negara ini," katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru wakil berkenaan supaya memohon maaf secara terbuka dan ikhlas kepada penganut Kristian, khususnya Katolik, sekiranya kenyataan tersebut menyinggung dan melukakan perasaan mereka.
"Pemimpin politik mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarakat. Jangan kerana mahu mendapatkan gelak ketawa dan tepukan dalam sebuah perhimpunan politik, agama dan hamba-hamba Tuhan dijadikan bahan permainan," katanya.
Beliau turut menyeru semua pemimpin politik tanpa mengira parti dan agama supaya menghentikan budaya menjadikan agama sebagai bahan jenaka atau modal politik.
"Jangan tokok tambah Kitab Suci. Jangan putar belit maksud Kitab Suci. Jangan persenda Father dan biarawati," katanya.
Kelmarin, Ketua Umno Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said berkata beliau bersedia memohon maaf sekiranya kisah yang disampaikan ketika berucap pada PAU beberapa hari lalu menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian.
Dalam ucapannya semasa membahaskan ucapan dasar Presiden Umno pada Sabtu, Noorazli menceritakan jenaka berkisarkan mengenai seorang paderi memandu Proton Saga manual yang menumpangkan seorang biarawati yang dianggap sesetengah pihak berunsur seksual dan merendahkan darjat pemuka agama.




Comments