top of page

Kerajaan teliti langkah mitigasi isu kenaikan bil elektrik esok – Anwar

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
2 min read

Kerajaan MADANI akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi meneliti langkah mitigasi segera untuk mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Anwar berkata, perhatian beliau kini tertumpu kepada keresahan rakyat berhubung kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini selepas kembali daripada lawatan ke India dan Maldives.


"Sekembali dari India dan Maldives, perhatian saya terus tertumpu kepada keresahan rakyat terkait kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini. Saya mendengar keluhan yang disuarakan dan perkara ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, kerajaan akan terus mempertahankan usaha penyasaran subsidi bagi memastikan majoriti pengguna dilindungi daripada kesan peningkatan kos bahan api.


"Saya ingin menegaskan bahawa ikhtiar penyasaran subsidi terus dipertahankan bagi melindungi majoriti rakyat. Sekitar 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan kadar susulan peningkatan kos bahan api tahun ini," katanya.


Anwar berkata, keadaan jerebu serta cuaca lebih panas sejak kebelakangan ini turut mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah.


Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penggunaan bulanan sesetengah pengguna melepasi paras 600 kWj dan seterusnya tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).


Sehubungan itu, Anwar berkata mesyuarat khas akan diadakan bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kewangan (MOF).


"Justeru, Kerajaan MADANI akan mengadakan mesyuarat khas esok bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi meneliti langkah mitigasi segera untuk mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat," katanya.


Beliau menegaskan kerajaan akan terus memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi dibuat secara adil dan munasabah dengan kebajikan rakyat kekal sebagai keutamaan.


"Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap langkah penyasaran subsidi dilaksanakan secara adil dan munasabah, dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page