top of page

Elaun guru KAFA, pegawai masjid di P Pinang naik mulai Oktober

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
40 minutes ago
1 min read

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan peningkatan elaun guru dan ketua guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) berkuat kuasa Oktober ini.


Menurut Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid (gambar), elaun berkenaan dinaikkan sebanyak RM200 kepada RM1,700 dan RM1,800 sebulan bagi setiap kategori.


Keputusan Kerajaan Negeri itu hasil daripada kekukuhan kutipan zakat semasa dan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan guru KAFA terus terbela.


"Kenaikan ini kali kedua selepas kadar elaun itu dinaikkan sebanyak RM200 pada 1 Julai 2025 yang melibatkan tambahan RM3.96 juta daripada sumber zakat menjadikan keseluruhan komitmen tahunan sebanyak RM11.19 juta.


"Kenaikan itu melibatkan 1,650 guru di 208 premis KAFA dan 14 sekolah berkaitan KAFA," katanya dipetik laporan media.


Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Maung itu sebelumnya hadir ke Majlis Perhimpunan Guru KAFA, Pegawai Masjid dan Siak 2026 Masjid Al-Muhajirin di Seberang Jaya pada Selasa.


Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan kenaikan elaun 1,364 pegawai masjid dan siak lantikan kerajaan negeri mulai Oktober ini.


Kenaikan itu melibatkan tambahan peruntukan RM1.76 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM3.426 juta setahun.


"Bagi sembilan masjid pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), elaun imam dinaikkan daripada RM400 kepada RM1,000 sebulan, manakala elaun bilal dan siak masing-masing meningkat RM300 kepada RM800.


"Untuk 209 masjid kariah pula, elaun imam, bilal dan siak masing-masing dinaikkan RM100, menjadikan elaun imam RM950 manakala bilal dan siak RM600 sebulan. Semakan terakhir elaun pegawai masjid dan siak dibuat pada 2023," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page