top of page

Elak jurang perbezaan politik bincang isu Islam, agenda bersama

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 6 days ago
  • 2 min read
Perwakilan dari Nahdlatul Ulama dari Indonesia mengemukakan pendapat dalam dialog bersama AMANAH sambil diperhatikan oleh Raja Bahrin (kiri sekali), Dr Hassan dan Dr Mujahid Yusof
Perwakilan dari Nahdlatul Ulama dari Indonesia mengemukakan pendapat dalam dialog bersama AMANAH sambil diperhatikan oleh Raja Bahrin (kiri sekali), Dr Hassan dan Dr Mujahid Yusof

Organisasi Islam disaran agar mengelakkan diri daripada terjebak dalam perbezaan politik yang mendalam ketika membincangkan hal ehwal agama dan agenda bersama sehingga membuka kepada pintu perpecahan dalam kalangan umat.


Demikian pandangan yang dipersetujui dalam satu pertemuan melibatkan pemimpin dan pertubuhan Islam dari Malaysia serta Indonesia yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.


Pertemuan tersebut menghimpunkan wakil Nahdlatul Ulama termasuk Ketua Pengurus Besarnya Ulil Abshar Abdalla bersama pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) serta pelbagai pertubuhan Islam tempatan bagi membincangkan keperluan memperkukuh kesatuan global umat Islam.


Turut hadir Timbalan Presiden AMANAH, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Pengerusi YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom.


Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Kamarul Bahrin Shah, perpecahan dunia Islam ketika ini semakin meruncing khususnya dalam konteks konflik geopolitik melibatkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel.


Beliau mendakwa tindakan kuasa besar seperti AS dan Israel dilihat berpotensi memperdalamkan jurang perpecahan dalam kalangan negara Islam.


"Pengiktirafan awal terhadap Israel oleh beberapa negara Arab serta penerimaan pangkalan tentera AS di Timur Tengah merupakan permulaan kepada perkembangan ini.


"Apabila Iran membalas serangan AS dengan menyasarkan pangkalan tentera AS di negara Teluk, AS dengan cepat meninggalkan pos ketenteraan mereka dan membiarkan negara Arab menghadapi situasi tersebut sendiri, sambil memberi tumpuan untuk melindungi Israel," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau yang juga mantan Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengingatkan bahawa pemeteraian Perjanjian Abraham oleh beberapa negara Teluk dilihat sebagai peralihan daripada kesatuan dunia Islam kepada kecenderungan kerjasama strategik dengan Israel dan AS.


"Perjuangan sejagat untuk membebaskan Palestin di Gaza dan Tebing Barat telah ditinggalkan oleh pihak yang terlibat dalam Perjanjian Abraham.


"Ironinya, sokongan serta pengiktirafan terhadap perjuangan Palestin kini semakin meningkat daripada negara Barat dan bukan Islam akibat kekejaman yang jelas terhadap rakyat Palestin," ujarnya.


Raja Kamarul Bahrin berkata terdapat kebimbangan kemungkinan negara-negara Teluk menarik diri daripada OPEC yang sebelum ini memainkan peranan penting sebagai kuasa kolektif negara pengeluar minyak.


"Langkah negara GCC [Majlis Kerjasama Teluk) tersebut boleh melemahkan kuasa kolektif negara-negara pengeluar mintak yang mungkin menguntungkan Israel dan AS," katanya.


Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha Pakistan yang dilihat mengambil peranan meredakan ketegangan dengan membuka laluan darat bagi membantu Iran mengurangkan kesan sekatan ekonomi.


Menurutnya, kerjasama serantau seperti itu wajar dijadikan contoh dalam memperkukuh semangat persaudaraan Islam.


Beliau menegaskan pertemuan bersama kepimpinan Nahdlatul Ulama itu boleh menjadi asas kepada pembentukan agenda kesatuan umat Islam di Asia Tenggara.


"Mungkin kita boleh bermula di Malaysia dengan melupakan perbezaan politik dan membentuk gabungan bersatu demi ummah yang bersatu menentang hegemoni Israel dan AS.


"Marilah kita menghadiri perhimpunan pro-Palestin yang sama pada hari, masa dan tempat yang sama, daripada mengadakan perhimpunan berasingan.


"Marilah kita menyertai persidangan yang sama untuk tujuan bersama, daripada forum yang berasingan."


Tambah beliau, situasi dalam negara menunjukkan agama sering dipolitikkan sehingga mencetuskan ketegangan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah masyarakat pelbagai kaum dan agama.


"Di Malaysia, agama telah terlalu dipolitikkan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah melibatkan bukan Islam, sehingga banyak isu menjadi terlalu emosional demi keuntungan politik jangka pendek.


"Sudah tiba masanya pemimpin tempatan menunjukkan kematangan sebagai negarawan untuk meredakan keadaan dan memimpin negara ke arah perpaduan yang lebih kukuh demi kesejahteraan seluruh rakyat," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page