Ekosistem intervensi kanak-kanak berkeperluan khas Selangor diperkemas
- Suara Keadilan

- 17 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor sedang merangka garis panduan pusat intervensi awal yang berdaftar sebagai vendor di bawah Bantuan Rahmah Insan Istimewa Selangor (BRAIS) 2026.
Exco Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari (gambar) berkata langkah tersebut sebahagian usaha menambah baik ekosistem intervensi awal untuk kanak-kanak berkeperluan khas di Selangor, sekaligus memastikan perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi piawaian ditetapkan.
"Dalam proses menambah baik pusat-pusat intervensi, kita telah melaksanakan pendaftaran awal vendor dan setakat ini menerima penyertaan kira-kira 300 pengusaha pusat intervensi awal," katanya dipetik.
BRAIS ialah penjenamaan semula kepada program Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) dan dijangka memanfaatkan 1,800 penerima.
Pada April lepas, Anfaal memaklumkan, sejumlah RM800,000 diperuntuk bagi program BRAIS dalam membantu pembangunan dan pendidikan golongan orang kurang upaya.
Sementara itu dipetik laporan sama Anfaal berkata, Kerajaan Negeri kini sedang dalam proses meneliti aspek pematuhan dalam kalangan pusat intervensi berdaftar, termasuk kelayakan tenaga pengajar dan kaedah terapi yang dilaksanakan.
Beliau berkata pihaknya memandang serius keperluan memastikan pusat intervensi bukan sahaja memenuhi syarat pendaftaran dan pelesenan pihak berkuasa tempatan (PBT), malah kandungan serta pendekatan pembelajaran yang digunakan turut menepati standard ditetapkan.
"Walaupun bidang pendidikan dan kesihatan berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, Selangor akan terus mengambil langkah proaktif bagi memperkukuh ekosistem sokongan untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
"Kita tidak mahu ada pusat intervensi mendakwa mampu menyediakan terapi, tetapi gagal mematuhi syarat serta piawaian yang sewajarnya," tegasnya.




Comments