Ekonomi Jahanam Jika Kerajaan Tebuk Atap Kekal Berkuasa



Oleh: Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif


Ketika negara jiran lain di Asia Tenggara terus menikmati limpahan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi sewaktu pandemik Covid-19, Malaysia pula terus dirundung malang apabila satu demi satu syarikat berteknologi tinggi asing yang pernah melabur ratusan juta ringgit mula meninggalkan negara ini.


Laporan Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Perdagangan dan Pembangunan menyebut lebih 80% dari AS$156 bilion FDI di ASEAN tahun 2020 telah diterima oleh Indonesia, Singapura dan Vietnam. Manakala Malaysia yang tersohor dengan “Kerajaan Melayu-Islam Paling Hebat” hanya menerima 5% atau AS$7.8 bilion, yang sudah pastinya FDI terendah dalam kalangan negara membangun ASEAN.


Kehilangan pekerjaan


Rakyat Malaysia secara tidak langsung terus ditimpa malang apabila beribu-ribu orang pekerja kolar putih terpaksa berhadapan dengan kehidupan yang tidak menentu apabila syarikat-syarikat hi-tech asing menutup operasi mereka. Kadar pengangguran dijangka terus meningkat dan peluang pekerjaan menjadi semakin sengit serta amat terhad.


Pada separuh kedua tahun 2020 lalu, operasi teknologi maklumat syarikat minyak gergasi dunia Shell telah dipindahkan ke India. Perpindahan ini mengakibatkan syarikat sekutu dan penyedia solusi teknologi maklumat bagi Shell iaitu syarikat T-System dari Jerman yang berpangkalan di Cyberjaya turut menutup operasinya. Malang bagi Malaysia apabila 800 pekerja mahir T-System yang terdiri dari sebahagian besarnya anak tempatan, hilang pekerjaan.


Kesan berganda terhadap kelemahan pengurusan ekonomi Kerajaan Tebuk Atap PN terus membawa celaka kepada golongan profesional dan separa profesional dalam industri teknologi maklumat apabila syarikat gergasi komputer IBM juga mengambil langkah meninggalkan Malaysia pada Mei 2021 ini.


IBM telah melabur lebih RM1bilion untuk membangunkan Pusat Pengedaran Globalnya di Cyberjaya sejak tahun 2011. Penutupan operasi IBM di Cyberjaya menyaksikan satu lagi malapetaka kepada lebih 3000 pekerja IBM. Mereka akan menghadapi dengan masa depan yang tidak menentu dan terpaksa memasuki zon pengangguran yang kini semakin membesar. Satu lagi kejayaan Kerajaan Tebuk Atap PN!


Pendapatan isi rumah pekerja yang dibuang kerja sudah pasti terjejas dan kesempitan hidup sudah tentu akan mula dirasai oleh ramai golongan profesional dan berpendidikan tinggi yang sebelum ini berjawatan tinggi dalam industri berteknologi tinggi.


Kehidupan yang dulunya selesa dan bahagia bertukar menjadi tersepit apabila notis tunggakan sewa-beli rumah dan ansuran bulanan kereta memenuhi peti surat kediaman pekerja kolar putih ini.


Kerajaan PN tidak peduli


Perniagaan terpaksa gulung tikar dan Kerajaan PN masih cuba mengekalkan kuasa secara jijik dengan “memancing” Ahli Parlimen pembangkang untuk terus kekal berkuasa secara 'nyawa-nyawa ikan'.


Sesunguhnya, Kerajaan Tebuk Atap PN yang berkuasa pada hari ini sudah tidak mendapat keyakinan pelabur-pelabur asing. Malah pelabur-pelabur sedia ada pun sudah mulai angkat kaki. Jika PN kekal berkuasa nescaya industri berteknologi tinggi Malaysia menuju ke era kejahanaman yang nyata dan kita akan berhadapan dengan laluan sukar untuk bangkit semula sebagai kuasa ekonomi pada masa akan datang.


Marilah sama-sama kita doakan agar pimpinan Kerajaan Minoriti Tebuk Atap PN yang gagal menangani dan mengurus ekonomi negara ini “dihumban” keluar dari Putrajaya atau tersungkur dalam Parlimen Malaysia!.


Yang jelas dakwaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bahawa Kerajaan PN mengambil pendekatan selektif dalam memilih pelabur asing adalah lawak paling lucu dalam sejarah penyandang jawatan menteri MITI di Malaysia.

_________________________________________________________________________________


Penulis adalah Ketua Penerangan Negeri KEADILAN Terengganu.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio