top of page

Ekonomi Gemas perlu diperkasa seiring manifesto PH N Sembilan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 34 minutes ago
  • 2 min read
Siti Aishah (tengah) berkempen menemui pengundi DUN Gemas sehingga ke sawah dan ladang
Siti Aishah (tengah) berkempen menemui pengundi DUN Gemas sehingga ke sawah dan ladang

Usaha memperkukuh ekonomi setempat perlu menjadi keutamaan bagi memastikan penduduk Gemas menikmati lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan taraf hidup serta pembangunan infrastruktur yang memenuhi keperluan semasa.


Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Siti Aishah Seman @ Othman berkata, manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang dilancarkan oleh Pengerusi Majlis Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun menyediakan pelbagai inisiatif dan insentif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, daripada bayi, wanita dan golongan dewasa sehingga warga emas.


Menurut beliau, Gemas bagaimanapun mempunyai cabaran tersendiri yang memerlukan penekanan khusus terhadap pembangunan ekonomi agar manfaat manifesto dapat diterjemahkan dengan lebih berkesan kepada rakyat.


"Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan meliputi inisiatif dan insentif untuk golongan bayi, wanita, dewasa sehinggalah warga emas.


"Walau bagaimanapun, cabaran di Gemas berbeza dan kita mesti meningkatkan taraf ekonomi penduduk di sini seiring dengan apa yang terkandung dalam manifesto," kata Siti Aishah.


Beliau berkata, tumpuan akan diberikan kepada pertumbuhan ekonomi setempat menerusi pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan di samping penyediaan infrastruktur yang selaras dengan keperluan semasa penduduk.


"Kita mesti mengutamakan pertumbuhan ekonomi setempat, menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menyediakan infrastruktur mengikut keperluan dari semasa ke semasa," ujar Siti Aishah.


Mengulas pencalonannya, Siti Aishah menyifatkan kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan KEADILAN negeri dan pusat sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.


"Ini adalah kepercayaan daripada pimpinan KEADILAN negeri dan pusat mencalonkan saya sebagai calon Pakatan Harapan DUN Gemas.


"Saya menggalas satu tanggungjawab yang besar.


"Insya-Allah, maklum balas daripada pengundi amat memberangsangkan dan saya optimis boleh memenangi kerusi DUN Gemas," katanya.


Beliau turut berikrar untuk bekerja rapat dengan masyarakat setempat dan memastikan setiap suara rakyat diberi perhatian demi membawa pembangunan yang lebih menyeluruh kepada Gemas selaras dengan aspirasi Pakatan Harapan untuk Negeri Sembilan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page