Ekonomi biru: Diperkasa menerusi rangka tindakan MBEB


Kerajaan MADANI mengorak langkah memperkasa potensi ekonomi biru negara menerusi penerokaan tujuh sektor pertumbuhan utama serta pelaksanaan lima program flagship nasional.
Inisiatif strategik sumber laut dan marin itu diperhalusi pada mesyuarat sulung Jawatankuasa Pemandu Ekonomi Biru (JPEB) dipengerusikan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Menerusi satu kenyataan, Akmal Nasrullah berkata, mesyuarat bertujuan merangsang sumber ekonomi baharu selain melonjakkan daya saing sektor maritim negara itu turut memperhalusi tiga kertas pertimbangan untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Ekonomi Biru (JKEB), yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Tiga kertas berkenaan merangkumi struktur dan terma rujukan tadbir urus ekonomi biru Malaysia, pelaksanaan dasar dan Program Flagship Nasional Ekonomi Biru dan analisis isu dan cabaran, strategi intervensi dan keberhasilan mengikut sektor dalam Rangka Tindakan Ekonomi Biru Malaysia (MBEB)," katanya.
Menerusi kenyataan tersebut beliau turut menjelaskan, keutamaan kerajaan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) ialah menterjemahkan potensi ekonomi biru kepada keberhasilan yang boleh diukur melalui pelan tindakan sektoral, pelaksanaan projek berimpak tinggi dan mekanisme pembiayaan bersesuaian tanpa menjejaskan kelestarian ekosistem marin negara.
Kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri akan terus diperkukuh menerusi pembangunan hab ekonomi biru di Sabah, Terengganu, Kelantan dan Perak dengan memanfaatkan kelebihan ekonomi setempat.
"Perakuan JPEB akan dikemukakan untuk pertimbangan dan keputusan JKEB, yang dijangka bermesyuarat pada Januari 2027, disusuli dengan peluncuran dokumen MBEB tertakluk kepada keputusan jawatankuasa tersebut," katanya.
JPEB berperanan memandu hala tuju strategik, menyelaras dasar, memperakukan keutamaan pembangunan dan memantau pelaksanaan MBEB menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan.




Comments