Duit raya: Benarkah pengerusi sebuah GLC T'ganu terima RM10,000?
- Akmal Manaf

- 5 hours ago
- 1 min read

Penularan di internet satu dokumen berkaitan bayaran ex-gratia atau duit raya kepada ahli lembaga pengarah sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Terengganu (GLC) mencetuskan tanda tanya apabila ianya didakwa menunjukkan jurang ketara antara bantuan kepada penjawat awam negeri dan imbuhan kepada kepimpinan syarikat GLC.
Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob berkata, dokumen tersebut mendakwa wujud kelulusan bayaran ex-gratia sehingga RM10,000 kepada Pengerusi, selain RM6,000 kepada Pengarah, manakala kakitangan biasa hanya menerima RM500.
"Rakyat Terengganu berhak mendapat jawapan yang jelas, bukan sekadar penjelasan umum (berhubung duit raya).
"Kerana dalam pentadbiran yang benar-benar berjiwa rakyat, keutamaan itu tidak perlu dipersoalkan, ia akan terlihat dengan sendirinya.
"Lebih membimbangkan, sehingga kini tiada penjelasan rasmi yang menyeluruh, tiada pengesahan atau penafian tuntas dan tiada usaha proaktif bagi menjernihkan kekeliruan," katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, dalam era keterbukaan maklumat, sikap berdiam diri bukan lagi satu pilihan.
Tegas beliau, jika dokumen tersebut tidak benar, ia wajar dinafikan segera manakala jika benar, rakyat berhak dimaklumkan secara telus.
"Akhirnya, isu ini bukan sekadar soal RM500 atau RM10,000. Ia adalah soal, keadilan, akauntabiliti, integriti dan kepimpinan," katanya.
Ahmad Nadhir juga mahu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar mengesah atau menafikan dokumen tersebut kerana beliau sewajarnya mengetahui perjalanan GLC sebagai ketua pentadbiran negeri.




Comments