Dua penggal MB Dr Samsuri: Persepsi melangkaui prestasi
- Hasbul Ahmad

- 3 days ago
- 2 min read

Persepsi politik yang dibina terhadap pentadbiran Pas di Terengganu sebenarnya melangkaui prestasi sebenar kerajaan negeri, khususnya dalam aspek ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.
Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob berkata, imej positif yang dibentuk terhadap pentadbiran Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melalui media sosial dan jentera komunikasi Pas sejak berkuasa pada 2018 tidak selari dengan realiti ekonomi negeri itu.
Menurut beliau, Pas berjaya membina persepsi bahawa kepimpinan Dr Ahmad Samsuri mempunyai kemampuan besar sehingga sering diketengahkan sebagai antara calon pemimpin nasional sedangkan katanya, prestasi sebenar pentadbiran negeri perlu diukur melalui pencapaian ekonomi dan taraf hidup rakyat, bukannya sekadar populariti politik.
"Persepsi boleh dicipta melalui media dan kempen politik, tetapi rakyat perlu menilai berdasarkan prestasi sebenar pentadbiran.
"Kalau kita lihat secara realiti, hasil negeri masih terlalu bergantung kepada petroleum. Malah banyak perkara asas termasuk pembayaran tertentu kepada penjawat awam negeri masih memerlukan sokongan Kerajaan Persekutuan," katanya kepada Suara Keadilan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas landskap politik Terengganu selepas Pas memenangi Pilihan Raya Umum 2018 dan mempertahankan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri 2023.
Ahmad Nadhir turut menegaskan bahawa ukuran keberkesanan sesebuah kerajaan perlu dilihat menerusi indikator ekonomi makro dan mikro termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peluang pekerjaan dan kadar penghijrahan tenaga kerja.
Menurut beliau, KDNK Terengganu masih berada antara yang terendah di Malaysia dan jauh di bawah purata nasional, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap naratif kejayaan pentadbiran negeri yang sering dimainkan.
Jabatan Statistik (DOSM) pada Julai 2025 melaporkan, negeri Terengganu berada pada kedudukan empat negeri terendah KDNK, selain Labuan, Perlis dan Kelantan.
"Kalau dibandingkan dengan negeri-negeri seperti Johor dan Selangor yang jauh mengatasi purata KDNK nasional, kedudukan Terengganu masih tercorot.
"Jadi persoalannya, bolehkah kita terus mengatakan pentadbiran negeri ini benar-benar berjaya hanya berdasarkan persepsi politik semata-mata?" soalnya.
Beliau turut menyentuh isu peluang pekerjaan yang menurutnya masih sangat terhad dan tertumpu kepada industri minyak dan gas.
Katanya, kekurangan kepelbagaian sektor ekonomi menyebabkan ramai anak muda Terengganu terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan negeri lain demi mencari pekerjaan serta pendapatan yang lebih baik.
"Ramai rakyat Terengganu terpaksa keluar merantau jauh daripada keluarga sendiri untuk mencari pekerjaan. Ini realiti yang berlaku bertahun-tahun.
"Pemimpin yang baik sepatutnya mampu menyediakan peluang pekerjaan mencukupi dalam negeri sendiri supaya rakyat tidak perlu meninggalkan keluarga untuk meneruskan kehidupan," katanya lagi.
Menurut beliau, isu penghijrahan tenaga kerja itu memberi kesan besar kepada struktur sosial masyarakat Terengganu apabila ramai golongan muda dan tenaga mahir memilih untuk membina kerjaya di luar negeri.
Justeru, Ahmad Nadhir berpandangan rakyat perlu lebih kritikal dalam menilai sesebuah kepimpinan dengan mendahulukan prestasi pentadbiran berbanding persepsi yang dibina melalui propaganda politik dan media sosial.




Comments