Tambun kerusi marginal: Tidak ambil kira dinamik sokongan semasa - Dr Safwan
- Akmal Manaf

- 51 minutes ago
- 2 min read

'Tambun kini marginal' bukan sekadar analisa angka semata-mata, sebaliknya dilihat sebagai sebahagian daripada percaturan naratif politik untuk membentuk persepsi rakyat menjelang pilihanraya akan datang.
Pengarah Komunikasi KEADILAN Perak, Dr Ahmad Safwan Mohamad berkata, politik bukan sahaja tentang realiti semasa tetapi mengenai siapa yang berjaya mendefinisikan realiti tersebut di mata rakyat.
Beliau berkata, sejak awal lagi Tambun bukan kerusi yang mudah ditawan kerana pernah menjadi kubu tokoh besar negeri, manakala Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula turun sebagai calon luar ketika Pilihan Raya Umum ke15.
Ujarnya, ramai melihat keputusan tersebut sebagai langkah berisiko tinggi, namun pihaknya memilih untuk membaca realiti politik dari sudut yang berbeza.
"Kita tidak melihat Tambun sebagai kerusi yang perlu dielakkan. Kita melihatnya sebagai medan untuk mengubah arus politik. Kita memilih untuk mencabar calon 'favourite' ketika itu (Datuk Seri Faizal Azumu) di gelanggang yang dianggap kubu kuat mereka sendiri.
"Gelombang Hijau di Utara memang kuat ketika itu dan banyak kubu tumbang. Namun Tambun membuktikan bahawa gelombang bukan segala-galanya.
"Kemaraan yang begitu kuat akhirnya berjaya diperlahankan dan dipatahkan di Tambun melalui kerja lapangan, strategi, dan keyakinan rakyat sendiri.
"Tambun yang kelabu ketika itu, kita berjaya 'putihkan' dengan kemenangan," katanya dalam satu kenyataan.
Dr Ahmad Safwan berkata, masyarakat juga perlu sedar bahawa analisa itu dibuat berdasarkan pola undi terdahulu dan simulasi pertandingan dua atau tiga penjuru.
"Ia belum lagi mengambil kira dinamika semasa, perubahan sentimen, prestasi kepimpinan, serta sokongan akar umbi yang sentiasa bergerak.
"Sebagai contoh, semasa PRU15, Datuk Seri Anwar telah berjaya 'memutihkan' Tambun (daripada kelabu) dengan menarik undi-undi daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
"Justeru, jawapan kita bukan dengan menolak analisa secara emosional, tetapi dengan mengatasi naratif tersebut melalui prestasi dan kerja nyata. Kita perlu terus membina keyakinan rakyat melalui kehadiran yang konsisten, penyelesaian kepada masalah mereka, dan hubungan yang kukuh di akar umbi.
"Selagi denyut nadi rakyat terus disantuni, dan selagi sentimen terhadap kepimpinan beliau kekal positif, label seperti 'marginal' tidak akan menjadi penentu mutlak.
"Akhirnya, politik bukan tentang siapa yang paling kuat mencipta persepsi, tetapi siapa yang mampu menukarkan harapan rakyat menjadi kenyataan," ujarnya lagi.
Terdahulu, sebuah media tempatan melaporkan bahawa lebih lima sumber parti mengakui bahawa penurunan kemenangan KEADILAN sejak 2018 menjadi faktor utama mengapa analisis 'tiering' dilakukan untuk mengenal pasti kawasan yang semakin goyah akibat perubahan sokongan pengundi.
Menurut mereka dengan hanya tujuh kerusi yang dianggap benar-benar selamat (Tier 1), parti pimpinan Anwar itu sedang bersiap sedia untuk menghadapi pertempuran yang sangat sengit di 59 kerusi yang lain demi mengekalkan dominasi mereka dalam kerajaan Perpaduan pada PRU16 akan datang.
Dalam senarai kerusi yang dimenangi pada PRU15, beberapa kawasan kini diletakkan dalam kategori Tier 2B (marginal), termasuklah Tambun yang dimenangi oleh Presiden KEADILAN itu.
Analisis itu membahagikan 66 kerusi tersebut dengan tujuh kerusi diletakkan dalam Tier 1 (kuat/selamat), 13 kerusi di Tier 2A (hampir kuat), 17 kerusi di Tier 2B (marginal/kompetitif), dan 29 kerusi sebagai Tier 3 (sukar/recovery).
Pembahagian itu menunjukkan bahawa sebahagian besar kerusi yang dikaji, iaitu sebanyak 46 kerusi (Tier 2B dan Tier 3), berada dalam zon berisiko tinggi atau memerlukan pemulihan imej yang serius.
Sebagai rekod, pada PRU15 tahun 2022, KEADILAN secara keseluruhannya memenangi 31 kerusi Parlimen daripada 81 kerusi parlimen ditandingi.




Comments