top of page

Tindakan pantas kerajaan tangani gangguan internet di rumah panjang dipuji

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Bruce Yee (kiri) menunjukkan telefon bimbitnya telah berjaya mengakses internet
Bruce Yee (kiri) menunjukkan telefon bimbitnya telah berjaya mengakses internet

KEADILAN Sarikei meneruskan komitmen membantu komuniti luar bandar apabila sekali lagi turun padang meninjau pemulihan rangkaian internet di lima rumah panjang sekitar SK Rentap, Sungai Baron yang terjejas hampir tiga minggu.


Ketua Cabangnya, Bruce Yee Chin Kui berkata, lawatan susulan itu membuktikan kesungguhan pihaknya memastikan isu kebajikan rakyat, khususnya akses telekomunikasi tidak dipinggirkan.


"Lawatan susulan ini membuktikan komitmen berterusan KEADILAN Sarikei dalam memastikan kebajikan rakyat luar bandar diberi perhatian, khususnya berkaitan akses telekomunikasi yang amat penting dalam kehidupan harian mereka," katanya dalam kenyataan.


Menurut beliau, penduduk di kawasan tersebut melahirkan rasa syukur atas usaha proaktif KEADILAN Sarikei membawa isu tersebut kepada perhatian pihak berwajib sehingga penyelesaian dapat dilaksanakan dengan cepat.


Gangguan berkenaan sebelum ini, katanya menjejaskan hampir 120 pintu rumah panjang melibatkan lebih 500 penduduk serta sebuah sekolah rendah di kawasan Sungai Baron.


"KEADILAN Sarikei amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh penduduk sepanjang tempoh gangguan internet, yang bukan sahaja menjejaskan urusan komunikasi harian, malah turut memberi kesan kepada pendidikan, ekonomi, keselamatan serta hubungan mereka dengan dunia luar," ujarnya.


Sehubungan itu, Bruce Yee merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia khususnya di Sibu atas tindakan pantas memulihkan rangkaian.


Menurutnya, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani isu rakyat secara responsif.


"Kejayaan ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa komited dalam menyelesaikan permasalahan rakyat secara cekap, responsif dan tanpa berlengah.


"Ia juga mencerminkan kesungguhan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang sentiasa mendengar suara rakyat melalui saluran akar umbi di seluruh negara."


Dalam masa sama, KEADILAN Sarikei menggesa syarikat telekomunikasi meningkatkan mutu dan kestabilan perkhidmatan, khususnya di kawasan luar bandar Sarawak.


"Semua syarikat telco disarankan untuk terus menyahut seruan Kementerian Komunikasi dalam memperluaskan capaian dan meningkatkan taraf infrastruktur telekomunikasi di seluruh pelusuk Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar, demi merapatkan jurang digital antara bandar dan pedalaman," katanya.


Tambah beliau, KEADILAN Sarikei akan terus memainkan peranan sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan dalam memperjuangkan isu kebajikan serta pembangunan infrastruktur asas.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page