Dua beradik tercicir sekolah akibat himpitan hidup
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Himpitan hidup yang berpanjangan memaksa dua beradik di Naka, Padang Terap, Kedah tercicir daripada sistem pendidikan apabila mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah walaupun kini sudah berusia lapan dan sembilan tahun.
Muhamad Rizhan Rizqi dan adiknya, Muhamad Raiqal Rayyan, sepatutnya berada di Tahun Dua dan Tiga pada tahun ini, namun kekangan hidup yang dihadapi ibu mereka menyebabkan hasrat itu tidak kesampaian.
Ibu mereka, Siti Nur Jamilah Jamaludin, 39, berkata, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh sejak kehilangan ibunya yang sebelum ini menjadi tempat bergantung, selain pasangan hidupnya yang menghilangkan diri beberapa tahun lalu.
Menurutnya, walaupun sedar kepentingan pendidikan, keadaan hidup yang serba kekurangan membuatkan dia tidak mampu menghantar anak-anak ke sekolah seperti kanak-kanak lain.
"Bukan saya tidak mahu sekolahkan anak-anak, tetapi keadaan hidup saya sekarang sangat sukar. Saya tidak pernah berkongsi kisah ini, namun jika ada pihak sudi membantu, saya bersedia untuk hantar mereka ke sekolah.
"Saya kasihan melihat mereka hanya bermain di rumah tanpa peluang belajar seperti rakan sebaya," katanya dipetik Utusan ketika ditemui di Taman Naka Jaya.
Tambahnya, walaupun tidak pernah menerima pendidikan formal, dia tetap berusaha mengajar anak-anaknya secara asas di rumah mengikut kemampuan.
Katanya, anak sulungnya sudah mampu mengenal nombor, membaca abjad serta asas bacaan al-Quran, manakala adiknya masih kurang mahir dan kelihatan agak gugup apabila bercakap tentang sekolah.
Siti Nur Jamilah berkata, sebelum ini dia pernah menjalankan perniagaan makanan di Pekan Naka, namun terpaksa menghentikan operasi selepas pandemik Covid-19, sekali gus menjual peralatan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih sukar apabila dia tidak dapat bekerja tetap kerana perlu menjaga anak bongsunya yang berusia lima tahun dan tidak boleh berpisah daripadanya.
"Buat masa ini saya hanya tampung hidup dengan bantu rakan berniaga, kalau pergi kerja dapat lah gaji harian untuk beli barang dapur dan lain-lain keperluan kepada anak, selain itu ada juga pihak beri makanan kepada kami terutama jiran-jiran.
"Malah, bekalan elektrik di rumah pun sudah lama terputus dan kami hanya bertemankan lilin pada waktu malam, manakala telefon dicaj menggunakan power bank yang terlebih dahulu dicaj di tempat lain," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu diharap dapat tampil bagi memastikan dua beradik tersebut tidak terus tercicir dan berpeluang menikmati pendidikan sewajarnya.




Comments