Rafizi tidak wajar kritik isu dalaman secara terbuka, beri kesan negatif
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Perbezaan pandangan dalam parti perlu diurus secara berhemah dan melalui saluran dalaman bagi memastikan keharmonian serta kekuatan parti terus terpelihara.
Menurut Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Johor, tindakan berterusan oleh mantan Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyuarakan isu secara terbuka dilihat bukan lagi sekadar perbezaan pandangan, sebaliknya berpotensi mencetuskan perbincangan yang boleh menjejaskan keharmonian dalaman parti.
Dalam kenyataan bersama, Pengerusi MPN KEADILAN Johor, Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Pengerusi MPN, Md Ysahrudin Kusni berkata, pendekatan menyuarakan tuduhan serius secara terbuka wajar ditangani dengan lebih berhati-hati agar tidak memberi kesan negatif terhadap disiplin parti serta kepercayaan anggota.
"Sekiranya matlamatnya adalah untuk memperkukuh parti, adalah lebih baik segala pandangan disalurkan melalui ruang yang sesuai agar tidak memberi ruang kepada pihak luar untuk memanipulasi keadaan," kata mereka.
Tambahnya, situasi yang berlaku ketika ini boleh disalah tafsir bukan sebagai keberanian bersuara tetapi sebagai tindakan yang memberi kesan kurang baik terhadap kestabilan parti.

Mereka turut memaklumkan bahawa tindakan bekas pimpinan yang terus mengkritik secara terbuka secara tidak langsung menimbulkan persoalan dalam kalangan anggota mengenai hala tuju dan keutamaan bersama.
"Dalam amalan politik yang matang, saluran dalaman sentiasa tersedia untuk membincangkan perbezaan pandangan.
"Sebagai Ahli Parlimen parti, adalah wajar untuk menghormati proses tersebut. Sekiranya terdapat perbezaan yang tidak lagi dapat diselaraskan, pilihan yang lebih beretika boleh dipertimbangkan," katanya.
Sehubungan itu, MPN KEADILAN Johor menegaskan komitmennya untuk mempertahankan kestabilan parti serta memastikan segala tindakan yang boleh menjejaskan imej parti ditangani secara bijaksana.
Menurut Dr Zaliha dan Ysahrudin, keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan parti kekal fokus kepada mandat rakyat, khususnya dalam mendepani cabaran ekonomi dan krisis tenaga global.
"Keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan, disiplin dan fokus kepada mandat rakyat, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi dan krisis tenaga global, tanpa terlalu terikat dengan polemik yang boleh mengalihkan perhatian daripada agenda utama," kata mereka lagi.




Comments