Dr Zaliha nafi jemput individu ke majlis penempatan Rohingya


Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa menafikan dakwaan bahawa beliau pernah menjemput seorang individu yang gambarnya bersama beliau tular di media sosial ke majlis perasmian atau pecah tanah bagi penempatan baharu etnik Rohingya.
Beliau menyifatkan dakwaan di media sosial berkenaan sebagai tidak benar dan berniat jahat kerana mengaitkan sekeping gambar dengan perkara yang didakwa tidak pernah berlaku.
"Dakwaan tersebut adalah tidak benar, berniat jahat dan telah mengaitkan sekeping gambar dengan suatu perkara yang tidak pernah berlaku.
"Saya tidak mengenali individu berkenaan secara peribadi dan tidak mempunyai sebarang hubungan atau urusan, sama ada secara rasmi mahupun tidak rasmi, dengannya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr Zaliha, beliau juga tidak pernah menghadiri, merasmikan atau terlibat dalam mana-mana majlis perasmian atau pecah tanah bagi tujuan mewujudkan penempatan Rohingya seperti yang didakwa.
Katanya, berdasarkan semakan, gambar berkenaan dipercayai dirakam ketika berlangsungnya ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF), ASEAN Governors and Mayors Forum (AGMF) dan Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre pada 12 Ogos 2025.
"Pada ketika itu, saya dijemput menyampaikan Special Address dan seterusnya menghadiri Majlis Perasmian Bersama program tersebut yang disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri," katanya.
Beliau berkata program berkenaan terbuka kepada orang awam untuk mendaftar sebagai peserta dan beliau tidak mengetahui identiti setiap individu yang hadir.
"Sekeping gambar bersama seseorang peserta tidak bermaksud saya mengenalinya, mempunyai hubungan dengannya, menjemputnya secara peribadi atau menyokong pandangan mahupun tindakannya," katanya.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata ketika menerajui Wilayah Persekutuan, beliau menubuhkan KL Strike Force sebagai mekanisme penguatkuasaan bersepadu bagi menangani isu keselamatan dan ketenteraman awam di Kuala Lumpur, termasuk isu lambakan warga asing dan penempatan haram warga Rohingya.
"Malah, operasi pertama KL Strike Force adalah menggempur penempatan haram warga Rohingya di Bandar Baru Sentul.
"Melalui KL Strike Force, saya menegaskan supaya tindakan diambil terhadap penempatan dan struktur haram, perniagaan tanpa lesen serta aktiviti warga asing yang tidak mempunyai kebenaran sah," katanya.
Pada masa sama, menurut beliau, peniaga tempatan yang layak dipermudah melalui proses pemutihan, pelesenan dan penempatan semula ke lokasi perniagaan yang lebih teratur menerusi inisiatif Lestari Niaga.
"Justeru, dakwaan bahawa saya pernah menghadiri, merasmikan, menyokong atau memudah cara suatu penempatan baharu Rohingya bukan sahaja tidak benar, malah bercanggah dengan rekod tindakan saya sendiri," katanya.
Dr Zaliha turut menyeru semua pihak supaya tidak menggunakan sekeping gambar di luar konteks untuk membina naratif yang tidak berasaskan fakta.
Sehubungan itu, beliau berkata akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penyebaran hantaran berkenaan untuk penelitian dan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.




Comments